KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) dalam masa terdekat bagi membolehkan orang ramai mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik institusi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneliti prosedur bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, termasuk sama ada laporan itu perlu dibawa semula ke Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum diterbitkan.
“Kalau tidak perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri, saya akan terbitkan hari ini. Jika perlu, saya akan tunggu sehingga mesyuarat Kabinet minggu depan kerana rakyat berhak mengetahui kandungan laporan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026, hari ini.
Menurut Anwar, keputusan untuk mendedahkan laporan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kedudukan Tabung Haji yang kini berada dalam keadaan lebih stabil hasil proses pemulihan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah bersetuju secara dasar untuk menerbitkan laporan tersebut, namun pelaksanaannya ditangguhkan kerana bimbang ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan pendeposit ketika TH masih melalui fasa pemulihan.
“Kita melantik Tan Sri Rashid Hussain sebagai Pengerusi bersama pasukan baharu untuk membersihkan kelemahan yang dikenal pasti berdasarkan dapatan suruhanjaya.
“Jika laporan itu didedahkan terlalu awal ketika proses pemulihan sedang berjalan, ia mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan penyimpan. Kini saya melihat TH sudah berada pada landasan yang kukuh dan saya tidak mempunyai sebarang keberatan untuk menerbitkannya,” katanya.
Anwar berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kandungan laporan berkenaan, khususnya selepas usaha penambahbaikan tadbir urus dan pengurusan TH dilaksanakan.
Mengulas lanjut, beliau memuji kepimpinan Tan Sri Rashid Hussain serta pasukan pengurusan Tabung Haji kerana berjaya memperkukuh institusi itu sehingga menjadi lebih telus dan diurus dengan baik.
“Terdapat beberapa penyalahgunaan dan perkara yang membimbangkan ketika itu. Fokus utama kerajaan ialah memastikan simpanan pendeposit Tabung Haji terus dilindungi,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan cadangan untuk mendedahkan laporan akhir RCI Tabung Haji akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan timbul kekeliruan serta dakwaan berhubung penjualan aset strategik TH.






