
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menjadikan Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai agenda strategik yang bukan sahaja bertujuan meningkatkan ketibaan pelancong, malah merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, ia turut melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemain industri pelancongan, pengusaha pelancongan komuniti serta usahawan tempatan di seluruh Sabah.
“KePKAS komited menerajui agenda berkenaan walaupun sektor pelancongan negeri berdepan cabaran akibat konflik geopolitik yang memberi kesan secara langsung kepada industri.
“Kementerian saya juga sedang merangka pendekatan menyeluruh yang memberi penekanan kepada pembangunan rantaian nilai pelancongan termasuk sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, kraftangan serta produk pelancongan berasaskan komuniti.
“Ia turut memberi manfaat ekonomi dapat diagihkan secara lebih meluas hingga ke peringkat akar umbi,” katanya semasa menjawab soalan ADUN Luyang, Samuel Wong Tshun Chuen, mengenai usaha kementerian memastikan kempen Visit Sabah Year 2027 memberi manfaat kepada PKS, pemain industri pelancongan, pengusaha pelancongan komuniti dan usahawan tempatan pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Rabu.
Selain itu, Andi berkata, sesi libat urus sedang dilaksanakan kepada para pemain industri serta pemegang taruh dalam meneliti serta berkongsi program dan aktiviti yang akan dilaksanakan bersempena kempen ini.
Tambahnya, bagi memastikan penyertaan aktif semua pihak, KePKAS melalui Lembaga Pelancongan Sabah akan mempergiat usaha promosi dan pemasaran secara bersasar bagi kempen Tahun Melawat Sabah.
“Antara usaha seperti memasarkan pakej pelancongan tempatan, memperluas akses pasaran kepada pengusaha kecil, serta menyediakan insentif dan sokongan promosi kepada pemain industri, khususnya PKS dan komuniti setempat,” ujarnya.





