
TAWAU – Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan seorang bayi perempuan dipercayai dibuang di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, pada Selasa.
Perintah reman bermula hari ini (Rabu) sehingga 26 Julai itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan termasuk mengambil sampel DNA daripada suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri.
Pada Selasa, bayi perempuan yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan orang awam di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa kira-kira pukul 6 pagi.
Susulan penemuan itu, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi sebelum membawa bayi berkenaan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan sepasang remaja di Kampung Jawa, berhampiran lokasi bayi itu ditemuikan kira-kira pukul 10.40 malam pada hari sama.
Difahamkan, remaja perempuan berumur 15 tahun itu menerima rawatan di Hospital Tawau selain turut ditahan selama 14 hari di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.





