
PUTRAJAYA – Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan negeri itu sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi, inovasi dan pembangunan yang inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil kesepakatan kedua-dua kerajaan telah meletakkan Sarawak di landasan yang semakin kukuh untuk terus berkembang sebagai antara pemacu utama pembangunan negara.
“Setiap ikhtiar digerakkan dengan tekad mengangkat martabat rakyat, memperkasa ekonomi serta menjamin kesejahteraan yang berkekalan. Transformasi kemajuan yang sedang dilakar ini adalah hasil usaha bersama.
“Dengan semangat Sarawak Maju, Segulai Sejalai, kita akan terus melangkah sederap memperkukuh perpaduan, merancakkan pembangunan dan membina masa depan yang lebih makmur demi Sarawak dan Malaysia,” katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak hari ini.
Anwar turut mendoakan agar Bumi Kenyalang terus mencatat kejayaan serta menjadi kebanggaan negara.
Beliau berharap Sarawak akan terus menyemarakkan kemakmuran dan memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia demi masa depan yang lebih gemilang untuk seluruh rakyat.







