
KANGAR – Sebanyak 31,650 Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan pas sempadan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis sejak awal tahun ini.
Pengarah Imigresen Perlis, Mohammad A’sim Md. Ali berkata, jumlah itu membabitkan 6,918 pasport dan 24,732 Pas Sempadan yang dikeluarkan dari 1 Januari hingga 17 Julai lalu.
“Sebanyak 72 Dokumen Perjalanan Terhad turut dikeluarkan dalam tempoh sama, menjadikan keseluruhan dokumen perjalanan yang dikeluarkan di negeri ini berjumlah 31,722.
“Kesemua dokumen perjalanan itu dikeluarkan di pejabat dan cawangan Imigresen di seluruh negeri Perlis,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Mohammad A’sim meninjau hari pertama pelaksanaan cetakan PMA versi baharu di pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar di sini.
PMA versi baharu itu mula dikeluarkan pada 1 Julai lalu sebelum pelaksanaannya diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
Pasport berkenaan dipertingkatkan dengan 94 ciri keselamatan terkini selain menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun.
Bayaran bagi pasport sah laku 10 tahun ditetapkan sebanyak RM350 untuk rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 59 tahun.
Warga emas berusia 60 tahun ke atas pula dikenakan bayaran RM175, manakala orang kurang upaya berusia 18 tahun ke atas dikecualikan daripada bayaran.
Dalam perkembangan lain, JIM Perlis melaksanakan 243 operasi penguatkuasaan dari Januari hingga Julai lalu dengan 746 warga asing diperiksa.
Hasil operasi tersebut membawa kepada penahanan 71 pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan imigresen.
JIM Perlis turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin atau aktiviti mencurigakan menerusi saluran aduan rasmi jabatan.






