
SEREMBAN – Seorang pengundi warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Sarija Kassim, berharap calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad, dapat meneruskan usaha memperkukuh syiar Islam serta menjaga kebajikan penduduk sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, sebagai seorang agamawan, Nor Azman yang lebih dikenali sebagai Ustaz Nor Azman diyakini mampu memainkan peranan dalam memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai ajaran Islam, khususnya kepada golongan yang masih kurang memahami asas agama.
“Saya harap ustaz dapat terus menyampaikan pengajaran Islam kepada masyarakat. Bukan sahaja perkara asas seperti aurat.
“Tetapi memberi kefahaman kepada mereka yang masih kurang memahaminya, terutama golongan warga emas,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, harini.
Terdahulu, Sarija menerima kunjungan Nor Azman ketika sesi walkalbout bertemu pengundi-pengundi di Rumah Rakyat Sikamat 2.

Tambahnya, dia menyakini latar belakang Nor Azman dalam bidang agama turut menjadi antara kekuatan apabila calon PH itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang juga aktif sebagai penceramah bebas menyampaikan pengisian Islam kepada masyarakat sekitar.
Nor Azman kini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada masa sama, Sarija turut berharap Nor Azman dapat meneruskan usaha dan perkhidmatan yang telah dilaksanakan penyandang kerusi DUN Sikamat sebelum ini demi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
“Kalau diberi kemenangan, teruskanlah usaha yang baik untuk membantu rakyat dan memimpin kawasan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau pada masa sama mengajak semua pengundi di DUN Sikamat menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian bagi memilih wakil rakyat yang diyakini mampu membawa pembangunan dan kebajikan kepada kawasan itu.






