SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH), NorAzman Mohamad hari ini secara rasmi mengemukakan borang pencalonannya di Pusat Penamaan Calon, Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights pada Sabtu bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau tiba di lokasi berkenaan pada sebelah pagi dengan diiringi pimpinan PH, petugas parti serta ratusan penyokong yang berkumpul bagi memberikan sokongan moral sebelum proses penyerahan borang pencalonan bermula.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Norazman akan berdepan pertandingan tiga penjuru di Dewan Undang Negeri (DUN) Sikamat selepas SPR mengesahkan pencalonan, melibatkan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mewakili Bersatu serta seorang calon daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Suasana di pusat penamaan calon terkawal dengan kehadiran anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan perjalanan proses pencalonan.
Penamaan calon hari ini menandakan bermulanya tempoh rasmi berkempen menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.





