KUALA KLAWANG – Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada sokongan terhadap DAP akan merosot, kekal atau meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana setiap pilihan raya mempunyai dinamik yang berbeza dan keputusan akhirnya bergantung kepada pilihan pengundi pada hari pengundian.
“Setiap pilihan raya adalah berbeza. Sama ada ia turun, sama ada ia bertahan, sama ada ia meningkat.
“Perkara tersebut bergantung kepada pengundi pada pilihan raya pada 1 Ogos,” katanya ketika ditemui media selepas penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, pada Sabtu.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan kesan penolakan terhadap DAP seperti di PRN Johor, khususnya di kerusi campuran, Anthony berkata, keadaan di Negeri Sembilan adalah berbeza kerana parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri sejak dua penggal lalu.
Beliau berkata, pengalaman bertanding di DUN Chennah sejak 2013 menunjukkan kerusi campuran sentiasa bersifat kompetitif kerana kemenangan tidak hanya bergantung kepada sokongan satu kaum, sebaliknya memerlukan sokongan daripada pelbagai komuniti.
“Saya datang ke Chennah pada 2013 dengan mengambil risiko yang tinggi kerana sebelum itu kerusi ini dimenangi MCA pada Pilihan Raya Umum 2008. Dalam pilihan raya, peluang sentiasa 50-50.
“Kemenangan terbesar yang saya peroleh pada 2013 hanyalah sekitar 55 peratus undi, manakala pada pilihan raya lalu, bersama Kerajaan Perpaduan, sokongan meningkat kepada kira-kira 60 peratus.
“Kerusi yang tidak ada hanya ada majoriti satu kaum sentiasa (memiliki kemenangan) 50-50 kerana kerusi campuran kita kena melalui bersama dengan komuniti untuk menang di kerusi ini,” katanya.
Pada masa sama, katanya, PH turut mempunyai rekod pentadbiran yang boleh dinilai rakyat, berbanding keadaan di Johor ketika DAP bukan merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri, khususnya di kawasan luar bandar dan separa luar bandar.
Beliau yang juga Setiausaha DAP berkata, kedudukan sebagai kerajaan memberikan kelebihan kerana rakyat boleh melihat sendiri usaha pembangunan serta khidmat yang telah dilaksanakan.
“Negeri Sembilan adalah berbeza kerana kami adalah incumbent government di sini. DAP Johor kita bukan dalam kerajan ia adalah kekurangan tapi di sini, kita sebahagian kerajaan negeri serta telah berkhidmat dan membawa pembangunan di kawasan ini.
“Sudah tentu, saya berharap saya dapat mengekalkan sokongan bukan sahaja antara penduduk Cina, tetapi juga antara orang Melayu dan Orang Asli,” katanya.
Terdahulu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan akan berdepan saingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN Negeri Sembilan Ke-16.
Penyandang kerusi DUN Chennah itu akan dicabar calon Barisan Nasional (BN) iaitu Siow Kong Choon yang juga Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan.
Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) P. 126 Jelebu, Abdul Rahim A. Aziz mengumumkan pertandingan dua penjuru itu selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Anthony merupakan penyandang kerusi DUN Chennah selepas memenanginya pada PRN yang lalu dengan majoriti 2,200 undi.





