JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor bagi penggal 2026–2031 selepas Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan berlangsung dengan sempurna.
Onn Hafiz melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kelancaran istiadat berkenaan serta merafak sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas perkenan terhadap pelantikan barisan EXCO negeri yang baharu.
Menurut beliau, pembentukan pasukan pentadbiran kali ini menggabungkan pengalaman, kesinambungan serta tenaga baharu bagi memastikan Kerajaan Negeri Johor terus bergerak secara lebih kukuh, cekap dan berkesan dalam memenuhi aspirasi rakyat.
Barisan EXCO yang dilantik ialah Datuk Mohd Jafni Md Shukor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam).
Selain itu, Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar); Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia); Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi) dan Hasrunizah Hassan (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
Turut dilantik, Md. Israk Abdullah (Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali (Pendidikan dan Penerangan); serta Pannir Selvam Paliksina (Perpaduan, Warisan dan Budaya).

Onn Hafiz berkata, setiap pelantikan bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, keikhlasan dan komitmen demi kepentingan Bangsa Johor.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua EXCO yang diberikan kepercayaan untuk menganggotai pentadbiran negeri serta berharap mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap dalam mempercepat pembangunan Johor.
“Saya memohon doa seluruh Bangsa Johor agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk kepada kami untuk memikul amanah ini sebaik-baiknya. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan keredaan-Nya demi Johor yang terus maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan lafaz “Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor, Kepada Allah Kita Berserah,” sebagai simbol kesetiaan kepada institusi diraja serta komitmen Kerajaan Negeri untuk terus berkhidmat kepada rakyat sepanjang penggal pentadbiran 2026–2031.




