
IPOH – Papan tulisan raksasa ikonik ‘IPOH’ yang menjadi mercu tanda utama bandar raya ini diturunkan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, langkah itu diambil bagi memastikan struktur serta keadaan fizikal mercu tanda berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan terpelihara.
“Kerja-kerja penyelenggaraan itu juga penting bagi mengekalkan imej tulisan ikonik tersebut yang menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung dan simbol kebanggaan bandar raya Ipoh.
“Kerja-kerja pemasangan semula tulisan ‘IPOH’ dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai 4 hingga 6 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja di tapak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, MBI komited memastikan setiap kemudahan awam serta mercu tanda bandar raya diselenggara secara berkala demi menjamin aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan warga kota.
Sehubungan itu, orang ramai diminta memberi kerjasama dan bersabar sepanjang tempoh kerja-kerja pemeriksaan dan baik pulih berkenaan dijalankan sehingga pemasangan semula tulisan ikonik itu selesai.






