KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menilai cadangan mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga serta meningkatkan keupayaan negara berdepan risiko gangguan bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini.
Selain itu, katanya, mesyuarat turut membincangkan usaha mempercepat agenda peralihan tenaga negara selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Perkembangan sektor tenaga negara terus menunjukkan kemajuan apabila kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) mencapai 31 peratus sehingga Disember tahun lalu, sejajar dengan komitmen kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu.
“Usaha ini turut diperkukuh melalui kejayaan pelaksanaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” katanya menerusi Facebooknya.
Beliau berkata, sektor pengangkutan turut merekodkan perkembangan positif menerusi pelaksanaan Biodiesel B15 yang akan diperkukuh melalui pembangunan hab biobahan api Petronas di Pengerang, Johor.
Selain itu, projek elektrifikasi pengangkutan awam diteruskan mengikut jadual, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik dan pembangunan rangkaian rel sepanjang 800 kilometer di seluruh negara.
“Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi sistem Transit Aliran Automatik (ART) di Sarawak pula dijadualkan siap menjelang penghujung tahun ini,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara supaya Malaysia bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global, sekali gus menjamin keterjaminan tenaga untuk jangka panjang.







