PKS, komuniti sempadan dipastikan nikmati manfaat Zon Ekonomi Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan memastikan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand memberi limpahan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan tempatan serta komuniti di kawasan sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan zon ekonomi itu merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan wilayah negara bagi memastikan kawasan di utara Semenanjung tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan yang sebelum ini lebih tertumpu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, pembangunan tersebut melibatkan kawasan strategik seperti Bukit Kayu Hitam, Sadao, Rantau Panjang, Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech Park dan Perlis Inland Port yang akan memperkukuh rangkaian perdagangan Malaysia dengan Thailand serta negara-negara Indochina.

“Kita sasarkan peningkatan perdagangan Malaysia-Thailand yang mempunyai potensi besar tetapi belum dimanfaatkan sepenuhnya. Tumpuan pembangunan kini tidak lagi hanya berpusat di Lembah Klang.

“Sebaliknya turut melibatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RECODA dan SEDIA di Sarawak serta Sabah, selain kawasan utara yang meliputi Perlis, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan utara Perak. Strategi pembangunan wilayah ini juga melibatkan aspek keselamatan kerana apabila peluang pembangunan, pekerjaan dan ekonomi diwujudkan di kawasan sempadan, ia memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Melalui persefahaman baharu dengan Thailand, produk pertanian dan perikanan Malaysia kini mendapat kelonggaran untuk melepasi sekatan kastam ke Laos, Kemboja dan Vietnam,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan mengenai manfaat ekonomi pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand serta mekanisme bagi memastikan perusahaan kecil dan komuniti setempat turut menikmati manfaatnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan Perlis Inland Port yang bakal menjadi hab logistik utama dengan kapasiti awal 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), selain pembinaan jambatan Rantau Panjang-Tok Panjang bernilai RM45 juta.

Selain itu, katanya, pembinaan Jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang melibatkan kos RM45 juta, manakala kerajaan turut menggalakkan pembangunan kawasan sekitar bagi memperkukuh aktiviti perdagangan serta memperluas peluang kepada peniaga kecil, khususnya usahawan Bumiputera, selain disokong projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan cadangan penyambungan rangkaian kereta api Malaysia-Thailand.

“Pada masa sama, Malaysia dan Thailand turut mencapai persetujuan bagi memudahkan pergerakan barangan merentasi sempadan, termasuk produk pertanian dan perikanan Malaysia ke negara ASEAN lain yang sebelum ini berdepan pelbagai sekatan.

“Tetapi dengan perjanjian baharu ini, Perdana Menteri Thailand (Anutin Charnvirakul) telah bersetuju memberikan kelonggaran itu, maknanya peluang perdagangan untuk Malaysia dalam bidang perikanan dan pertanian supaya melepasi sekatan-sekatan biasa kastam itu dapat dikendalikan.

“Bukan sahaja projek besar diberi perhatian, tetapi perusahaan kecil dan sederhana serta peniaga kecil juga mesti mendapat manfaat daripada peningkatan kegiatan ekonomi ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, Anwar berkata, pembangunan Zon Ekonomi Sempadan akan diselaraskan dengan pengukuhan rangkaian pengangkutan pelbagai mod yang melibatkan jalan raya, kereta api, pelabuhan dan sektor pelancongan bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Katanya, usaha itu turut melengkapi agenda ASEAN termasuk pembangunan ASEAN Power Grid yang menghubungkan Vietnam, Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, selain kerjasama memperluaskan penggunaan pelabuhan di Thailand, Pulau Pinang dan Perlis Inland Port.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak mahu kawasan sempadan terus tersisih daripada arus pembangunan negara, justeru pembangunan infrastruktur akan digabungkan dengan pelaksanaan program pendidikan, latihan kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan meneruskan inisiatif Power Up 10K dengan kelulusan pembiayaan sehingga Jun 2026 sebanyak RM400 juta kepada usahawan dan koperasi di Kelantan, RM287 juta di Kedah serta RM45 juta di Perlis bagi memastikan PKS dan usahawan tempatan, khususnya Bumiputera, tidak tercicir daripada manfaat pembangunan zon ekonomi berkenaan.

Terdahulu, Adnan turut membangkitkan keperluan mengimbangi usaha mempercepatkan perdagangan rentas sempadan dengan aspek keselamatan bagi mengekang penyeludupan dadah, barangan dan jenayah rentas sempadan.

Bagaimanapun, Anwar dalam jawapannya menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh kesalinghubungan infrastruktur, memperluas peluang ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan sampai kepada komuniti di kawasan sempadan.

Related Posts

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Negeri susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

KEPUTUSAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tindakan memilih untuk ‘mufarakah’ atau berpisah daripada Perikatan Nasional (PN). Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam