
KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan merasmikan Kompleks Belia dan Sukan Pahang (KOMBES), di sini, petang semalam.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 sempena Festival Belia Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pembinaan KOMBES membabitkan kos RM30 juta dan bakal menjadi hab pembangunan belia serta sukan negeri.
“Kemudahan ini amat dinantikan golongan belia di Pahang untuk menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan diri, sukan dan rekreasi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas peruntukan besar bagi pembinaan KOMBES,” katanya, menurut laporan Bernama.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail berkata, kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan utama, gimnasium, gelanggang sukan, skatepark dan kemudahan wall climbing.
“Kita berharap kompleks ini digunakan sepenuhnya dan kementerian akan terus menambah baik kemudahan yang disediakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengenai operasi KOMBES, Rahimi berkata, kompleks itu dijangka dibuka kepada orang ramai dalam tempoh kira-kira sebulan selepas proses ujian dijalankan bagi memastikan semua fasiliti berada dalam keadaan baik.






