KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu proses menggubal akta e-dagang baharu dipercepatkan bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan peniaga tempatan berdepan persaingan yang lebih seimbang dalam pasaran digital.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Fuziah Salleh berkata, keperluan itu semakin mendesak susulan perubahan pesat teknologi serta perkembangan urus niaga dalam talian, termasuk peningkatan perdagangan merentas sempadan.
Katanya, Akta Perdagangan Elektronik 2006 perlu ditambah baik bagi menangani kelemahan dari aspek kawal selia, khususnya dalam melindungi pengguna yang melakukan transaksi melalui platform digital.
“Perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu melihat kesannya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Kerangka e-dagang kita juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan cara rakyat membeli serta berniaga hari ini. Ini penting untuk menutup kelompongan yang masih ada dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya dari sudut perlindungan pengguna,” katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya hari ini.
Fuziah berkata, akta baharu berkenaan juga perlu mengambil kira kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran persaingan daripada penawaran barangan pada harga terlalu rendah.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi memberi tekanan kepada peniaga tempatan sekiranya tidak disokong dengan kerangka peraturan yang dapat memastikan persaingan berlangsung secara adil.
Dalam masa sama, katanya, penjual dari luar negara perlu tertakluk kepada kewajipan pematuhan dan akauntabiliti yang jelas bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil terhadap kes penipuan, penjualan barangan tidak selamat serta pertikaian berkaitan transaksi.
Beliau berkata, penyedia platform e-dagang juga tidak boleh dilihat sekadar sebagai perantara antara penjual dengan pembeli kerana kedudukan mereka kini mempunyai pengaruh besar terhadap pemasaran dan pengedaran sesuatu produk.
Katanya, kerajaan turut mahu memastikan kehadiran syarikat asing dalam pasaran tempatan membawa manfaat kepada ekonomi negara, termasuk melalui pelaburan, pemindahan teknologi, pewujudan pekerjaan dan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.
Fuziah berkata, pendekatan kerajaan terhadap kawal selia ekonomi digital perlu mengambil kira kelangsungan keseluruhan ekosistem, bukan semata-mata menawarkan harga barangan yang rendah kepada pengguna.
“Harga yang kompetitif memang memberi manfaat kepada pengguna, tetapi jangan sampai wujud persaingan yang tidak seimbang sehingga peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian.
“Kita bukan hanya bercakap soal harga murah, tetapi bagaimana untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sihat supaya PMKS dan peniaga tempatan mempunyai ruang untuk berkembang dan bersaing dengan lebih adil,” katanya.





