
BANDUNG – Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menyasarkan kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Indonesia dalam industri semikonduktor bagi memperkukuh kedudukan kedua-dua negara sebagai pemain utama dalam rantaian nilai teknologi ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, pertumbuhan pesat syarikat semikonduktor global di Selangor membuka peluang luas kepada syarikat teknologi Indonesia untuk menjalinkan kerjasama strategik, khususnya dalam pembangunan litar bersepadu (IC) dan teknologi digital.
“Selangor telah membangunkan ekosistem digital yang lengkap merangkumi infrastruktur, reka bentuk semikonduktor, pembangunan bakat, inovasi serta kerjasama industri bagi menyokong pertumbuhan sektor berteknologi tinggi,” katanya ketika membentangkan potensi pelaburan Selangor pada program SIBS@ASEAN 2026 Bandung hari ini.
Beliau berkata, Selangor kini memiliki hab reka bentuk litar bersepadu (IC) di Puchong dan Cyberjaya yang disokong program pembangunan bakat bagi memenuhi permintaan industri.
Menurutnya, Hab Puchong yang kini beroperasi pada kapasiti penuh menempatkan lebih 200 jurutera daripada 14 syarikat semikonduktor dengan dijangka menjana pulangan ekonomi antara RM500 juta hingga RM1 bilion.
Sementara itu, Hab Cyberjaya bakal menjadi lokasi Akademi Semikonduktor Malaysia Lanjutan yang menyasarkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh 10 tahun.
“MBI Selangor berperanan menghubungkan peluang pelaburan dengan rakan strategik yang berkualiti dan menterjemahkan perancangan kepada pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang untuk Selangor dan Indonesia membina masa depan bersama serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi ASEAN,” katanya.




