
PELAKSANAAN Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diharap dapat membuka ruang kepada perbahasan lebih matang dan berasaskan fakta, selaras dengan usaha memperkukuh kebebasan serta autonomi institusi berkenaan.
Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Azmi Hassan berkata, akta itu adalah antara reformasi institusi yang bertujuan memastikan Parlimen dapat melaksanakan tanggungjawab perundangan dan pentadbirannya secara lebih bebas tanpa tekanan daripada pihak eksekutif.
Katanya, kebebasan itu penting bagi membolehkan Parlimen menjalankan fungsinya secara telus dan berkesan, termasuk dalam aspek pengurusan kewangan tanpa tekanan daripada kerajaan.
“Tidak dapat dinafikan, akta ini adalah antara reformasi Perdana Menteri yang bertujuan menjadikan Parlimen lebih bebas, memandangkan institusi itu mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan perlu bebas daripada pengaruh eksekutif.
“Matlamat utama Akta Perkhidmatan Parlimen adalah untuk memastikan perkhidmatan Parlimen dapat dilaksanakan secara lebih bebas, tanpa mengira tekanan daripada kerajaan mahupun pembangkang,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Rabu.

Beliau berkata, penglibatan wakil daripada blok kerajaan dan pembangkang dalam urusan Parlimen turut mencerminkan kepentingan memastikan kebebasan serta ketelusan diterapkan dalam pentadbiran institusi berkenaan.
Tambahnya, apabila kebebasan Parlimen dapat direalisasikan, perbahasan di Dewan Rakyat diharap menjadi lebih tertumpu kepada isu substantif dan kepentingan rakyat, selain menggalakkan budaya perbincangan yang lebih matang.
“Harapannya, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, perbahasan di Parlimen bukan sahaja lebih bebas, tetapi lebih penting, berteraskan kematangan.
“Perbahasan itu diharapkan lebih berasaskan fakta dan bukannya retorik semata-mata,” katanya.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada 1992.
Pelaksanaan akta itu membolehkan Parlimen mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya sendiri dengan lebih bebas, selain memperkukuh prinsip pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) pula dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember ini bagi mengawasi pelaksanaan akta berkenaan, termasuk urusan perkhidmatan pegawai, laluan kerjaya dan pentadbiran institusi itu.



