
KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman sivil terhadap MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd sedang diteliti kerajaan susulan kegagalan kedua-dua syarikat itu melunaskan keseluruhan tunggakan hasil kerajaan berserta penalti dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan memandang serius kegagalan pemindahan hasil berkenaan kerana wang kutipan kerajaan tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada dana operasi syarikat.
Beliau menegaskan, sebarang kelewatan menyerahkan wang kutipan itu merupakan pelanggaran serius terhadap syarat perjanjian yang ditetapkan.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti beberapa langkah penambahbaikan, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada ejen pihak ketiga melalui penggunaan saluran digital JPJ.
Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah pelaksanaan mekanisme baharu menggunakan Akaun Terimaan Kecil Perbendaharaan, yang membolehkan hasil kerajaan disalurkan terus ke akaun kerajaan tanpa melalui akaun pihak ketiga.
“Cadangan ini sedang dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi MOT di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anthony berkata, modul Akaun Belum Terima dalam Sistem Pengurusan Hasil Kerajaan akan diperketatkan bagi membolehkan transaksi dihentikan secara automatik sekiranya ejen pemungut gagal memindahkan hasil dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi (T+1).
Kerajaan turut mencadangkan supaya jaminan bank daripada syarikat induk diwajibkan bagi setiap syarikat yang dilantik sebagai ejen pemungut, sebagai langkah melindungi hasil kerajaan daripada risiko ketirisan.
Sebelum ini, kerajaan menggantung perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut JPJ selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.
Susulan perkembangan itu, MOT menetapkan penyelesaian penuh semua tunggakan berserta penalti akibat kelewatan pemindahan sebagai syarat mutlak sebelum sebarang kelulusan pelanjutan atau pertimbangan operasi seterusnya diberikan.


