PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.54 Pulai Sebatang, Haniff Hosman menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan kebajikan komuniti nelayan selepas turun padang menyantuni penduduk di Teluk C, Tambak Pontian bagi mendengar sendiri isu serta cabaran yang dihadapi mereka.
Menurut Haniff, pertemuan tersebut membuka ruang kepada komuniti nelayan untuk berkongsi pelbagai permasalahan yang memberi kesan kepada sumber pendapatan dan kelangsungan hidup mereka.
Antara isu yang dibangkitkan ialah kemudahan mendapatkan bekalan diesel bersubsidi, keadaan laluan air ke kawasan pendaratan ikan yang semakin cetek sehingga menyukarkan pergerakan bot, selain keperluan menaik taraf kemudahan di jeti bagi memudahkan urusan memunggah hasil tangkapan.
Beliau berkata, semua perkara yang disuarakan akan diberikan perhatian dan dibawa kepada pihak berkaitan agar penyelesaian yang terbaik dapat diusahakan demi menjaga kebajikan komuniti nelayan di kawasan tersebut.

“Suara nelayan tidak boleh dipandang ringan. Mereka merupakan antara tulang belakang sektor perikanan negara yang bukan sahaja menyumbang kepada bekalan makanan, malah menggerakkan ekonomi masyarakat setempat. Setiap pandangan yang dikongsikan hari ini amat bernilai dan wajar diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Haniff turut merakamkan penghargaan kepada komuniti nelayan Teluk C atas sambutan mesra serta kesediaan mereka berkongsi pandangan secara terbuka.
Beliau menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan turun padang untuk mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan diperjuangkan secara berterusan.
“Insya-Allah, saya akan terus bersama rakyat, mendengar setiap suara dan berusaha memastikan keperluan mereka mendapat perhatian yang sewajarnya demi masa depan Pulai Sebatang yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama menjayakan aspirasi “Johor Ke Depan, Undi HARAPAN” demi membina masa depan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Johor.






