PULAI SEBATANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.54 DUN Pulai Sebatang, Haniff Hosman, terus memperkukuh pendekatan turun padang apabila meluangkan masa bersama golongan belia dalam program Santai Bersama MADI (Farid Kamil) yang berlangsung di Ayer Baloi, petang khamis.
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak muda dan masyarakat setempat. Ia dimulakan dengan konvoi motosikal dari Pekan Ayer Baloi menuju ke Kopi 4×4 Kayu Ara Pasong sebelum diteruskan dengan sesi sembang santai bersama para belia.
Menurut Haniff, program seperti itu bukan sekadar medan untuk beramah mesra, malah menjadi platform penting bagi mendengar sendiri pandangan, idea serta harapan golongan muda terhadap pembangunan kawasan Pulai Sebatang.
Beliau berkata, anak-anak muda merupakan aset paling bernilai dalam mencorakkan masa depan kawasan itu dan suara mereka perlu diberi ruang serta perhatian dalam setiap perancangan pembangunan.
“Semangat, tenaga dan komitmen yang ditunjukkan oleh golongan belia hari ini memberi keyakinan bahawa mereka mampu menjadi pemacu kepada perubahan positif serta kemajuan Pulai Sebatang pada masa hadapan,” katanya.
Haniff turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menjayakan program tersebut, termasuk para peserta konvoi dan masyarakat yang meluangkan masa menyertai sesi dialog bersama beliau.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus mendekati golongan belia, memahami keperluan mereka serta memastikan setiap pandangan yang disuarakan menjadi sebahagian daripada usaha membina Pulai Sebatang yang lebih maju, inklusif dan berdaya saing.
“Anak-anak muda bukan sekadar pewaris kepimpinan masa depan, malah rakan strategik dalam membina sebuah komuniti yang lebih progresif dan sejahtera. Saya akan terus memastikan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar bersama-sama membawa perubahan demi masa depan Johor dengan semangat “Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.”






