
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendekatan melibatkan seluruh negara perlu menjadi asas dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu yang semakin kompleks, khususnya susulan perkembangan pesat teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan ancaman siber.
Beliau berkata, landskap keselamatan negara kini tidak lagi membolehkan tindakan dilakukan secara berasingan mengikut kementerian atau agensi seperti sebelum ini, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat.
“Negara kini berdepan situasi yang disifatkan sebagai ‘post-normal’ (pasca normal) apabila perubahan berlaku terlalu pantas, meluas dan sukar dijangka.
“Saya harap bukan sahaja Majlis Keselamatan Negara dan kementerian yang terlibat, tetapi semua jabatan dan kementerian harus sedar bahawa kita sedang berdepan keadaan yang bukan normal.
“Dalam hal ini, pendekatan seluruh negara amat penting. Tidak ada lagi pemisahan fungsi antara isu swasta, jabatan atau kementerian. Kita perlu menggabungkan sinergi supaya wujud pendekatan bersama merentasi semua jabatan dan kementerian,” katanya ketika berucap pada Majlis Bulan Keselamatan Negara 2026 di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata, budaya kerja yang memisahkan tanggungjawab mengikut bidang kuasa kementerian dan agensi tidak lagi sesuai dengan cabaran semasa, sebaliknya perlu digantikan dengan kerjasama rentas sektor yang lebih bersepadu bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.





