
PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand sepakat memperkukuh Perkongsian Strategik kedua-dua negara menerusi kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertanian, keterjaminan makanan dan pembangunan sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari.
Menurut beliau, kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertanian yang disifatkan sebagai langkah penting bagi memperkukuh perdagangan dua hala, menjamin keterjaminan bekalan makanan serta memperluaskan kerjasama dalam sektor pertanian.
“Dalam sidang media bersama, kami menzahirkan kesepakatan untuk terus memperkukuh dan merealisasikan segala bentuk kerjasama yang telah dipersetujui berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan tekad bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Malaysia dan Thailand,” katanya.
Anwar berkata, segala persetujuan yang dicapai di peringkat tertinggi itu perlu disusuli dengan tindakan tersusun oleh kementerian dan agensi berkaitan supaya setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, Malaysia dan Thailand juga bersetuju mempercepat pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan serantau termasuk ASEAN Power Grid, selain memperkukuh kesalinghubungan di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok bagi memudah cara pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Kedua-dua negara turut bersetuju mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif menerusi mekanisme kerjasama sedia ada agar manfaatnya dapat segera dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Selain kerjasama ekonomi, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau termasuk perkembangan di Myanmar, usaha mengekalkan keamanan di selatan Thailand serta sokongan terhadap proses perdamaian antara Thailand dan Kemboja berlandaskan semangat ASEAN yang mengutamakan dialog dan penyelesaian secara damai.
Anwar berkata, beliau menantikan Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand yang akan datang di Thailand bagi memastikan momentum kerjasama strategik itu terus diperkukuh dan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat lebih besar kepada kedua-dua negara.
Lawatan rasmi Anutin merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri Thailand pada Mac 2026, sekali gus mencerminkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara serta membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih luas pada masa hadapan.



