
ISKANDAR PUTERI – Pelaksanaan sistem e-Invois dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara akan dikaji semula.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu.
“Kajian semula itu termasuk mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan kedua-dua dasar berkenaan selepas mengambil kira pandangan pemain industri serta komuniti perniagaan.
“Langkah itu penting bagi memberi lebih masa kepada peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), membuat persediaan dari segi sistem, operasi dan pematuhan sebelum e-Invois dilaksanakan sepenuhnya,” katanya, seperti dipetik berita tempatan malam tadi.

Jelas beliau, penangguhan itu juga dijangka dapat mengurangkan tekanan kos pematuhan terhadap syarikat sekali gus memastikan pelaksanaan e-Invois dapat dilakukan secara lebih teratur dan berkesan.
Pada masa sama beliau memaklumkan, kerajaan turut bersetuju mengkaji semula pelaksanaan caruman wajib KWSP sebanyak dua peratus bagi pekerja bukan warganegara yang ditanggung majikan, bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keupayaan syarikat dan tidak membebankan sektor perniagaan.
Katanya, langkah berkenaan amat penting ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis di Asia Barat.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas persetujuan kerajaan melanjutkan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun.
Beliau berkata, keputusan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pendidikan tanpa mengira kaum atau fahaman politik, namun TAR UMT masih perlu mengemukakan laporan kewangan serta audit tahunan kepada Kementerian Kewangan.





