
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan Caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, susulan keputusan kabinet semalam bahawa caruman bagi LINDUNG 24 Jam tidak lagi bersifat mandatori, berkuat kuasa serta-merta.
“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh pihak PERKESO dalam tempoh yang terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata walaupun pelaksanaannya kini adalah secara sukarela bagi pekerja tempatan.
“Skim LINDUNG 24 Jam masih inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sekiranya mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.
“PERKESO akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial serta memastikan rakyat mendapat maklumat yang jelas dan tepat mengenai manfaat skim ini agar mereka dapat membuat keputusan yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan menjelang penghujung tahun.
“Ia termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana bagi memastikan skim ini kekal mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Sekiranya diperlukan, hasil penelitian tersebut akan dibentangkan ke Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya.
Bagaimanapun, kata Ramanan, caruman Skim LINDUNG 24 Jam bagi pekerja asing kekal mandatori dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Keputusan Kabinet semalam menyaksikan caruman 0.75 peratus daripada gaji pekerja kini dilaksanakan secara sukarela.
Sebelum ini, banyak pihak, terutama pencarum menganggap LINDUNG 24 Jam yang mula berkuat kuasa Jun lalu, sebagai membebankan dan ramai menyarankan ia tidak diwajibkan.
Ketika ini, caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, manakala majikan hanya membuat potongan dan bayaran kepada PERKESO bagi pihak pekerja.





