
JOHOR BAHRU – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, serangan pembangkang terhadap Kerajaan MADANI lebih banyak bersandarkan persepsi berbanding fakta kerana kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, antara bukti komitmen kerajaan ialah mengekalkan harga petrol pada RM1.99 seliter menerusi pemberian subsidi BUDI MADANI 95 (BUDI95) yang disifatkannya antara terendah di dunia, selain memastikan sebarang keputusan berkaitan rasionalisasi subsidi dibuat secara berhati-hati agar tidak membebankan rakyat.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menekankan supaya kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), diberi keutamaan dalam setiap keputusan kerajaan.
“Serangan musuh kebanyakannya berdasarkan kepada persepsi, tanggapan, bukan fakta. Dari segi fakta mereka tidak boleh menyerang.
“Malaysia ni antara yang termurah minyak dalam dunia. Kerana apa? Kerana sikap Perdana Menteri. Sikap Perdana Menteri dia amat tidak mahu membebankan rakyat,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), di sini, pada Jumaat.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, beliau sendiri beberapa kali mengemukakan cadangan supaya subsidi ayam, telur, padi dan beras disusun semula, namun Perdana Menteri mahu memastikan sebarang perubahan tidak menyebabkan golongan B40 menanggung kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi pelaksanaan program Sejati MADANI (Sejahtera Komuniti MADANI) serta bantuan kepada komuniti termasuk sektor perikanan dan penternakan sebagai usaha mengurangkan beban rakyat.
Katanya, pendekatan itu membuktikan kerajaan lebih mengutamakan kebajikan rakyat berbanding projek pembangunan semata-mata.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di negeri Johor memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan dasar yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan di peringkat negeri.
Dalam pada itu, Mohamad enggan mengulas panjang mengenai parti lawan, namun mengkritik pendirian Pas yang menurutnya sering berubah mengikut kepentingan politik.
“Bagi saya, Pas ini dia boleh buat pendirian dia mungkin berubah setiap musim. Jadi bukan lagi dalam bentuk akidah. Dia boleh berubah mengikut kepentingan politik dia.
“Jadi ahli-ahli Pas kita harap jangan dipermainkan oleh hukum pemimpin itu. Pilihlah mengikut selera kamu,” katanya.


