
PUTRAJAYA – Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menamatkan perkhidmatan selepas 36 tahun dengan meninggalkan legasi besar dalam memperkukuh sistem statistik negara menerusi pelbagai pembaharuan strategik.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, sepanjang kepimpinannya Mohd Uzir menerajui agenda Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN.
“Inisiatif itu meletakkan asas kukuh ke arah pembentukan ekosistem data yang lebih moden, bersepadu dan responsif.
“Beliau turut mempelopori agenda pendemokrasian data menerusi OpenDOSM NextGen yang memperluas akses rakyat kepada statistik rasmi secara terbuka dan mesra pengguna selain menambah baik inisiatif digital seperti MyPAKW dan MyLabourHub bagi memastikan perkhidmatan statistik kekal relevan dengan keperluan semasa,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Mohd Uzir juga pelopor kepada penerbitan statistik lebih terperinci seperti Laporan Statistik Kawasan Parlimen, MyLocalStats dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Daerah, selain berjaya melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 secara digital ketika pandemik COVID-19.
Di peringkat antarabangsa, Mohd Uzir mewakili Malaysia dalam Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta memegang beberapa jawatan kepimpinan serantau, sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju statistik rasmi dunia.
DOSM merakamkan penghargaan atas jasa dan kepimpinan beliau yang disifatkan akan terus menjadi inspirasi dalam memacu pembangunan sistem statistik negara.







