
PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman, menegaskan bahawa setiap langkah turun padang bukan sekadar memenuhi jadual kempen, sebaliknya menjadi ruang penting untuk mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami keperluan sebenar masyarakat.
Menurut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai sebatang itu, sesi walkabout yang diadakan di Kampung Jelutong pada pagi Selasa membolehkannya bertemu dan beramah mesra dengan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
“Kunjungan ini turut dimanfaatkan dengan menziarahi beberapa rumah serta singgah di kedai-kedai setempat bagi bertanya khabar, mendengar pandangan, cadangan dan harapan penduduk berhubung pelbagai isu yang dihadapi.
“Setiap pertemuan memberi ruang kepada saya untuk memahami dengan lebih dekat kehidupan dan keperluan masyarakat. Bagi saya, setiap langkah turun padang adalah peluang untuk lebih dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan membawa suara mereka ke hadapan,” katanya.

Haniff berkata, pendekatan mendengar secara langsung daripada rakyat akan terus menjadi pegangan beliau sekiranya diberi mandat untuk mewakili DUN Pulai Sebatang.
Katanya, hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat perlu dibina melalui kehadiran di lapangan, bukannya hanya ketika musim pilihan raya, agar setiap isu dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kampung Jelutong atas sambutan yang diberikan sepanjang lawatan tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Kampung Jelutong atas layanan yang begitu mesra, doa serta sokongan yang diberikan. Insya-Allah, saya akan terus turun padang dan berkhidmat sebaik mungkin demi kesejahteraan seluruh warga N.54 DUN Pulai Sebatang,” katanya lagi.
Haniff turut menyeru pengundi agar bersama-sama membawa aspirasi perubahan demi masa depan Pulai Sebatang dan Johor yang lebih maju dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan pada hari pengundian.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menjadi suara rakyat serta memperjuangkan kebajikan masyarakat melalui pendekatan politik yang dekat dengan rakyat, selari dengan aspirasi “Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.”



