
TAHUN ini genap tujuh dekad FELDA memberi bakti kepada warga peneroka di seluruh negara.
Bermula di Lurah Bilut, dekat Bentong, Pahang, program tanah rancangan diperkenalkan Tun Abdul Razak itu sudah mempunyai lebih 300 kawasan ditanam dengan kelapa sawit dan getah di seluruh negara.
Tidak dapat dinafikan peranan besar FELDA dalam membantu peningkatan sosioekonomi warga peneroka.
FELDA juga menjadi ‘lubuk emas’ bernilai kepada orang Melayu Bumiputera dalam memiliki tanah sendiri dengan menyediakan sumber pendapatan yang baik.
Namun, kita juga tidak dapat melupakan beberapa siri kesilapan pernah dilakukan pihak pengurusan FELDA hingga meninggalkan sejumlah besar hutang dan perlu dilangsaikan untuk satu tempoh yang panjang.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Jengka, memaklumkan, kerajaan terpaksa membayar hutang tahunan sebanyak RM980 juta.
Hutang ini bukan berlaku secara tiba-tiba, namun disebabkan kelemahan tatakelola pimpinan terdahulu.
Pada tahun 2012, masalah pengurusan FELDA bermula selepas kerajaan ketika ini membuat keputusan menyenaraikan FELDA Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia.
![]()
Pernah diumumkan sebagai antara saham dengan nilai IPO tertinggi di dunia, prestasi saham FGV merudum teruk hingga mengakibatkan FELDA terseret menanggung hutang.
Tiga tahun selepas isu FGV, sekali lagi FELDA ditimpa malang melalui pelaburan merugikan.
FELDA dilaporkan membuat pelaburan bernilai jutaan dolar dengan membeli 37 peratus pegangan saham dalam Eagle High Plantations (Indonesia).
Pelaburan ini didakwa mendapat kelulusan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Ketua Pengarah FELDA, Datuk Dr Othman Omar membuat laporan polis mengenai perkara ini pada April 2019.
Beliau mendakwa pihak pengurusan FELDA menjadi mangsa penipuan Najib dalam skandal pembelian saham berkenaan.
Hutang ditanggung peneroka FELDA juga dilaporkan tinggi semasa zaman Najib berikutan kos tanam semula ditanggung warga peneroka.
Hutang itu dikatakan masih ditanggung peneroka sehingga hari ini, sehinggalah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebahagian besar hutang berkenaan dihapus kira.

Banyak kesilapan pengurusan dan lantikan di kerusi utama dalam hal pengurusan FELDA menjadi punca segala jenis hutang diwarisi warga peneroka dan generasi seterusnya.
Bagaimanapun, Najib dilaporkan pernah menafikan beliau adalah punca kemelut dialami FELDA.
Anwar sedang melakukan perkara yang sepatutnya bagi menyelamatkan semula maruah FELDA.
Antara pengumuman utama Perdana Menteri semalam adalah cadangan meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA,
Ketika ini, lebih kurang 8,000 unit rumah telah disiap dibina, yang telah diduduki sejak 31 Disember 2025.
“Sementara kita hendak luluskan akta itu dan sebagainya, kita salurkan serta-merta utiliti air dan elektrik, segera,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, urusan penyediaan bekalan air terbabit akan diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala Tenaga Nasional Berhad sudah diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua 8,000 rumah berkenaan.
Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang dilaksanakan sejak 2013 membabitkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah membabitkan tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak akan disiapkan secara berfasa.
Selain itu, banyak lagi insentif akan dinikmati peserta FELDA seperti diumumkan oleh Anwar semalam.
Dan semoga semua usaha ini dapat membuka mata dan memberi ruang kepada warga peneroka untuk merenung kembali, siapa sebenarnya sedang berusaha bersungguh-sungguh membantu mereka.
Selamat Ulang Tahun Ke-70 FELDA!





