
KULAI – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim menyeru pengundi muda khususnya yang bakal mengundi buat kali pertama supaya menggunakan hak demokrasi mereka dengan penuh tanggungjawab dan tidak mensia-siakan peluang menentukan masa depan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, hak mengundi adalah amanah yang dijamin di bawah undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan dan tidak semua individu berpeluang menikmati hak tersebut.
Katanya, keputusan yang dibuat pengundi pada hari mengundi akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat serta hala tuju negeri dan negara pada masa depan.
“Anak-anak muda kena tahu dan faham bahawa tugas kita pada 11 Julai ini sangat penting. Kalau kita tidak ambil tahu, kalau kita tidak terlibat, maknanya kita tidak memahami tugas dan tanggungjawab sebagai rakyat.
“Masa depan negeri dan negara kita ditentukan oleh generasi muda yang ada pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Program Trak Angkatan Muda Keadilan (AMK), di sini, pada Rabu.
Kamil berkata, beliau memahami terdapat golongan muda yang mungkin berasa kecewa dengan perkembangan politik semasa atau menganggap semua calon dan parti yang bertanding tidak membawa perbezaan.
Namun, katanya, persepsi sedemikian perlu diperbetulkan kerana pilihan rakyat akan menentukan bentuk pentadbiran serta dasar yang memberi kesan kepada masyarakat.
Jelasnya, lebih 50 peratus pengundi di negara ini terdiri daripada golongan muda berusia 45 tahun ke bawah, sekali gus menjadikan mereka kelompok penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
“Kalau orang muda mengambil sikap lalai dan tidak peduli dengan apa yang berlaku, kita sebenarnya sedang mempertaruhkan nasib dan kehidupan masa depan negeri serta negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Kamil turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan pemberian berbentuk habuan ketika musim pilihan raya.
Beliau berkata, walaupun memahami tekanan kehidupan yang dihadapi rakyat, keputusan memilih pemimpin perlu dibuat berdasarkan kesedaran, ilmu dan penilaian terhadap rekod calon.
“Undi kita ialah maruah kita. Jangan biarkan hak kita ditentukan hanya kerana RM50, RM100 atau RM200.
“Gunakan hak itu dengan sebaiknya, dengan bijak dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.
Kamil berkata, rakyat perlu menilai calon berdasarkan prestasi serta pencapaian yang ditawarkan, bukan kerana ganjaran sementara ketika musim pilihan raya.
Sementara itu, beliau menyatakan keyakinan terhadap calon PH bagi DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Johor.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat sepanjang tempoh kempen, termasuk pertemuan dengan penduduk di kawasan bandar, kampung dan pedalaman.
Menurutnya, walaupun Arthur berdepan kekangan tertentu ketika menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan bantuan serta manfaat dapat disalurkan kepada rakyat.
“Saudara Arthur tidak sempurna kerana tiada manusia yang sempurna. Kalau ada perkara yang baik, kita bantu. Kalau ada kekurangan, kita tegur dan perbaiki.
“Kita lihat usaha dan kesungguhan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan kempen yang memainkan sentimen perkauman terhadap calon tertentu.
Ujarnya, pemilihan wakil rakyat perlu dibuat berdasarkan kemampuan, rekod khidmat serta keupayaan membawa suara rakyat, bukannya berdasarkan latar belakang kaum.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini membabitkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).






