
NIBONG TEBAL – Pelajar Tingkatan Enam bakal menikmati Elaun Sara Hidup berjumlah RM2,500 bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, elaun di bawah Belanjawan 2027 itu akan dibayar secara berperingkat dengan lebih RM800 setiap semester sepanjang tiga semester pengajian.
“Elaun akan bermula tahun depan. Sebaik sahaja pendaftaran pelajar Tingkatan Enam selesai, bantuan akan disalurkan pada semester pertama,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutup Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di Taman Widuri, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh sokongan terhadap pendidikan prauniversiti dan meningkatkan kualiti pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
“Kita sangat gembira dengan pengumuman ini kerana ia adalah hasrat kita untuk melihat pelajar Tingkatan Enam mendapat sokongan sewajarnya dari aspek pembelajaran,” katanya.




