‘Politik perpaduan’ jadi pilihan, rakyat tolak sentimen perkauman

KOTA KINABALU – Politik berasaskan perpaduan dan kebajikan rakyat dilihat sebagai pilihan terbaik dalam memastikan kestabilan negara, berbanding pendekatan yang membangkitkan sentimen perkauman.

Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahab berkata, dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, politik seharusnya menjadi wadah untuk menyatukan rakyat, bukannya memecah-belahkan mereka.

“Matlamat utama politik ialah membina sebuah negara yang aman, makmur dan adil iaitu setiap rakyat mendapat peluang yang saksama untuk menikmati pembangunan dan kehidupan yang lebih baik.

“Politik membela rakyat berasaskan prinsip keadilan, integriti dan tanggungjawab.

“Fokusnya adalah kepada isu-isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan, perumahan mampu milik serta pembangunan ekonomi yang inklusif,” ujarnya kepada The Malaysia Press, pada Selasa.

Menurut Milus, politik perkauman hanya akan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar apabila identiti kaum dijadikan alat untuk meraih sokongan.

“Perbezaan yang sepatutnya menjadi kekuatan negara dijadikan alasan untuk menimbulkan rasa curiga, takut atau kebencian antara masyarakat.

“Dalam keadaan sedemikian, perbincangan tentang dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat sering diketepikan kerana perhatian lebih tertumpu kepada isu-isu yang membangkitkan emosi,” katanya.

Tambah Milus, cabaran yang dihadapi rakyat hari ini tidak mengenal warna kulit atau keturunan apabila kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang terhad serta kos pendidikan dan perumahan memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.

“Oleh itu, penyelesaian yang berkesan memerlukan dasar yang inklusif dan berpaksikan keperluan rakyat, bukannya pendekatan yang memecah-belahkan masyarakat mengikut garis kaum.

“Politik membela rakyat bukan sahaja menjadi asas kepada kemajuan negara, malah merupakan jalan terbaik untuk memastikan setiap rakyat dapat hidup bersama dalam suasana aman, saling menghormati dan berkongsi manfaat pembangunan,” kongsinya.

Beliau juga tegas, politik yang matang menuntut pemimpin bersaing melalui idea, dasar dan prestasi sekali gus melihat rakyat sebagai warganegara yang mempunyai hak dan kepentingan yang sama, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

Katanya, rakyat berhak menilai pemimpin berdasarkan keupayaan mereka mentadbir dengan cekap, mengurus ekonomi secara berhemah, membanteras rasuah dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Demokrasi yang sihat berkembang apabila perdebatan tertumpu kepada cadangan penyelesaian, bukannya retorik yang mengeksploitasi sentimen perkauman.

“Ini tidak bermakna kepentingan atau hak mana-mana komuniti harus diabaikan. Dalam sebuah negara majmuk, setiap kumpulan mempunyai keperluan dan cabaran yang wajar diberi perhatian.

“Namun, usaha memperjuangkan kepentingan sesuatu komuniti tidak semestinya dilakukan dengan menimbulkan permusuhan terhadap komuniti lain.

“Pendekatan yang lebih membina ialah mencari titik persamaan, mengukuhkan persefahaman dan memastikan setiap dasar dilaksanakan secara adil serta telus,” kongsunya.

Tambahnya lagi, masa depan negara bergantung kepada keupayaan rakyat dan pemimpin untuk memilih politik yang menyatukan, bukannya memisahkan.

“Politik membela rakyat mengajak semua pihak melihat kepentingan bersama sebagai asas pembangunan negara.

“Dengan mengutamakan keadilan, perpaduan dan kesejahteraan, negara akan lebih berupaya menghadapi cabaran global serta menjamin kemakmuran untuk generasi akan datang.

“Keseluruhannya, politik yang terbaik ialah politik yang mengangkat martabat rakyat, bukan politik yang memperalatkan perbezaan kaum demi keuntungan jangka pendek.

“Apabila keutamaan diberikan kepada kebajikan rakyat, tadbir urus yang baik dan perpaduan nasional, negara akan menjadi lebih kukuh, stabil dan dihormati,” tegasnya.

Related Posts

SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta, 17 syarikat hulur sokongan

SHAH ALAM – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 berjaya memperoleh tajaan berjumlah RM8 juta setakat ini menerusi sumbangan daripada 17 syarikat swasta dan anak syarikat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wanita lakukan kekerasan terhadap Sultan Perak didenda RM500

IPOH – Seorang wanita didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta, 17 syarikat hulur sokongan

SUKMA Selangor 2026 raih tajaan RM8 juta, 17 syarikat hulur sokongan

‘Politik perpaduan’ jadi pilihan, rakyat tolak sentimen perkauman

‘Politik perpaduan’ jadi pilihan, rakyat tolak sentimen perkauman

MediAsas: Reformasi pembiayaan kesihatan kurangkan beban rakyat

MediAsas: Reformasi pembiayaan kesihatan kurangkan beban rakyat

Pengundian awal PRN Johor berjalan lancar di IPD Mersing

Pengundian awal PRN Johor berjalan lancar di IPD Mersing

Sepanyol ke suku akhir lepas menang tipis 1-0 ke atas Portugal

Sepanyol ke suku akhir lepas menang tipis 1-0 ke atas Portugal

Elia Nadira tekad bawa politik nilai, didik masyarakat dan utamakan khidmat di Tenang

Elia Nadira tekad bawa politik nilai, didik masyarakat dan utamakan khidmat di Tenang