
CHARLES De Ketelaere menjaringkan dua gol untuk membawa Belgium ke suku akhir Piala Dunia selepas menewaskan tuan rumah bersama Amerika Syarikat (AS) 4-1 dalam aksi pusingan 16 terbaik pagi tadi, walaupun terdapat kontroversi berhubung penyertaan Folarin Balogun yang sebelum ini digantung.
De Ketelaere mengambil kesempatan meledak dua gol pada separuh masa pertama, masing-masing pada minit kesembilan dan ke-33.
Gol kedua pemain itu hadir hanya 61 saat selepas AS menyamakan kedudukan.
Malik Tillman meledak gol penyamaan pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma yang terkena lencongan pemain lawan sebelum menerjah gawang Belgium.
Bagaimanapun, kesilapan besar penjaga gol, Matt Freese menghadiahkan gol ketiga Belgium pada minit ke-57 yang disudahkan pemain gantian, Hans Vanaken.
Romelu Lukaku kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Belgium menerusi gol keempat pada masa kecederaan.
Penyerang, Balogun yang penggantungan kad merahnya dibatalkan sebelum perlawanan, beraksi hampir sepanjang permainan, namun hanya menghasilkan satu percubaan yang benar-benar mengancam.
Kekalahan AS menyaksikan kesemua tiga tuan rumah bersama Piala Dunia tersingkir daripada kejohanan selepas Kanada dan Mexico turut tewas dalam pusingan 16 terbaik.






