KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bercadang menghubungi rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, bagi meminta kelonggaran khas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Anwar berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip Malaysia yang tidak menggalakkan campur tangan mana-mana negara dalam urusan pilihan raya domestik.
Menurut beliau, kerajaan sebaliknya hanya memaklumkan kepada syarikat dan majikan di Singapura yang menggajikan rakyat Malaysia supaya memberi kelonggaran kepada pekerja mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Hubungan Malaysia dengan Singapura sangat baik dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Namun, saya juga mewakili Malaysia dan kita tidak meminta mana-mana negara campur tangan dalam urusan pilihan raya kita.
“Kita hanya memaklumkan kepada syarikat serta perusahaan supaya memudahkan pekerja Malaysia pulang mengundi. Setakat itu sahaja dan saya tidak bercadang menghubungi Lawrence Wong berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini dengan menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi, meliputi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Pada PRN Johor ke-15 yang diadakan pada 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.






