Sindiket tipu warga emas guna tawaran bantuan kebajikan tumpas, tiga beranak ditahan

IPOH – Taktik licik satu sindiket penipuan yang menyasarkan warga emas dengan menyamar sebagai petugas kebajikan akhirnya tumpas apabila tiga sekeluarga diberkas polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor, pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sindiket berkenaan dikesan memperdaya seorang wanita warga emas berusia 67 tahun ketika mangsa sedang menunggu pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Teluk Intan pada 29 Jun lalu.

Menurutnya, suspek wanita terbabit telah memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan sebelum menawarkan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM2,000 sebulan kepada mangsa.

“Bagi melengkapkan kononnya proses permohonan bantuan itu, suspek meminta mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa menyerahkan seutas rantai leher emas, sepasang subang emas bersama rantai pendek serta tiga cincin emas,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek tidak kembali semula untuk menemuinya, sebelum tampil membuat laporan polis.

Katanya, mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM8,000.

Bertindak atas maklumat dan siasatan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak berjaya menjejaki suspek di sebuah pangsapuri di Semenyih kira-kira jam 4.10 petang pada 3 Julai lalu.

“Hasil serbuan, tiga suspek berjaya ditahan iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 22 hingga 50 tahun. Kesemua mereka mempunyai pertalian keluarga iaitu ibu bersama dua anak,” katanya.

Mohd Alwi berkata, polis turut merampas pakaian yang digunakan suspek ketika memperdayakan mangsa selain berjaya mendapatkan semula barang kemas milik mangsa yang sempat dijual di sebuah kedai pajak gadai di Teluk Intan.

Menurut beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 4 Julai hingga 7 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, selain sebat dan denda.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mana-mana individu tidak dikenali yang menawarkan bantuan kebajikan dengan meminta barang kemas atau wang tunai sebagai syarat permohonan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penipuan seumpama ini diminta menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Related Posts

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

KANGAR – Peniaga di Dataran Kampung Wai, Kuala Perlis kecewa apabila mendakwa menerima notis supaya merobohkan gerai masing-masing bagi memberi laluan kepada penganjuran pesta air selama tiga hari. Dakwaan itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan sembilan kes cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM4.15 juta termasuk duti dan cukai menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Sepanggar. Ketua Pengarah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

Pelajar cemerlang UIAM perlu RM20,000 untuk visa, sambung pengajian ke UK

  • By Fatin
  • August 26, 2026
Pelajar cemerlang UIAM perlu RM20,000 untuk visa, sambung pengajian ke UK