
MIRI – Penganjuran program Taste of Borneo Cultural (TOBC) terus memperkukuh semangat perpaduan kaum apabila menghimpunkan pelbagai persembahan kebudayaan daripada komuniti etnik seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, program tersebut bukan sekadar konsert kebudayaan, malah menjadi platform untuk meraikan kepelbagaian budaya.
“Penyertaan pelbagai komuniti di atas satu pentas membuktikan komitmen masyarakat dalam memelihara warisan selain mengukuhkan keharmonian.
“Program ini memperlihatkan bagaimana masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik dapat bersama-sama meraikan keunikan budaya masing-masing dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya ketika berucap pada program tersebut pada Jumaat malam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, festival berkenaan menjadi medium penting bagi memperkenalkan keunikan Sarawak kepada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.
Pada masa sama, Sebastian merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah atas sokongan berterusan dalam memperkasa sektor tersebut.
“Festival TOBC dijadualkan berlangsung selama 10 hari dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran kraf tangan, jualan makanan tradisional dan persembahan kebudayaan,” katanya.
Justeru, beliau berharap orang ramai mengambil peluang menghadiri festival berkenaan bagi menghayati kepelbagaian budaya yang menjadi identiti kebanggaan Sarawak.





