
KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mewujudkan tiga pusat belian sementara durian bagi membantu pekebun memasarkan hasil buah bermusim itu susulan peningkatan pengeluaran ketika ini.
Pengarah FAMA Perlis, Mohd. Anzara Azizan berkata, pusat belian tersebut akan diwujudkan di kawasan utama pengeluaran durian iaitu di dusun Bukit Air, dusun Batu Pahat dan dusun Bukit Manik, Beseri.
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan hasil durian daripada pekebun tempatan dapat dikumpul, dibeli dan dipasarkan secara lebih tersusun sekali gus mengelak berlaku lambakan bekalan.
“Berikutan peningkatan pengeluaran hasil durian di seluruh Malaysia.
“FAMA Perlis menjalankan inisiatif pemasaran hasil pengeluaran durian sejajar Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 yang digerakkan secara proaktif di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, Pusat Operasi Kangar yang bertindak sebagai hub pengumpulan utama hasil pertanian di negeri ini turut membuat belian terus durian kampung sebanyak 5.5 tan metrik dari Perak dan Kedah bermula 18 Jun lalu.
Mohd. Anzara berkata, FAMA Perlis turut merangka beberapa langkah proaktif lain bagi mengatasi lebihan pengeluaran durian sepanjang musim pengeluaran buah itu dari Jun hingga Ogos.
Katanya, antara usaha itu ialah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menerusi penganjuran Pesta Buah-Buahan Tempatan Perlis di Sungai Batu Pahat pada 25 dan 26 Julai ini.
“Program itu akan melibatkan penyertaan 10 usahawan buah-buahan bermusim sebagai platform membantu memperluas pasaran hasil tempatan.
“Selain itu, FAMA turut melaksanakan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan sempena Piala Dunia Woodball yang bakal berlangsung di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra dari 24 hingga 30 Julai ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan durian yang sekian lama dianggap ikon pertanian Malaysia kerana nilai komersialnya yang tinggi kini berdepan lambakan bekalan sehingga menyebabkan harga buah itu merudum.
Tinjauan di sekitar Perlis mendapati harga durian varieti premium seperti Musang King menjunam kepada sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram, manakala Duri Hitam pula dijual antara RM25 hingga RM28 sekilogram.
Mohd. Anzara berkata, FAMA Perlis turut mengaktifkan semula pusat pemprosesan buah-buahan segar FAMA di Beseri bagi memproses isi durian sejuk beku untuk pasaran usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT).
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada jualan durian segar semata-mata, selain membuka ruang kepada penghasilan produk hiliran berasaskan durian.
“Outlet-outlet pemasaran FAMA juga berperanan membantu mengatasi lebihan pengeluaran hasil durian melibatkan tiga Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di Taman Guru Jaya, Kangar dan Jejawi.
“Sehingga kini, hampir 160 tan metrik durian berjaya dipasarkan oleh GBBS berkenaan melibatkan beberapa varieti seperti durian kampung, Musang King, Black Thorn dan pelbagai jenis lagi,” katanya.



