
KANGAR – Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis mencadangkan kerajaan mewujudkan Program BUDI Nelayan bagi membantu mengurangkan kos operasi nelayan moden yang semakin meningkat ketika ini.
Pengerusinya, Asri Jab berkata, program itu boleh dilaksanakan dengan membolehkan nelayan membeli petrol tambahan pada harga sekitar RM1.99 seliter bagi kuota sehingga 300 liter sebulan.
Katanya, cadangan tersebut dilihat mampu membantu nelayan khususnya golongan muda yang memerlukan penggunaan petrol dalam jumlah besar untuk keluar menangkap ikan di kawasan lebih jauh.
“Subsidi sedia ada sebanyak 50 liter pada harga RM1.65 seliter memang membantu, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk keperluan nelayan moden.
“Nelayan moden menggunakan antara 300 hingga 400 liter petrol sehari untuk turun ke laut. Jadi, kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pelaksanaan BUDI Nelayan ini,” katanya ketika ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kurong Tengar di sini hari ini.
Menurut Asri, pelaksanaan BUDI Nelayan bukan sahaja dapat meringankan beban nelayan, malah berupaya membantu mengawal harga ikan di pasaran.
Katanya, sekiranya nelayan terpaksa membeli petrol pada harga pasaran terbuka sekitar RM3.70 seliter, kos operasi akan meningkat dan akhirnya memberi kesan kepada harga ikan.
“Kalau kos minyak tinggi, harga ikan juga akan naik. Sebab itu kawalan harga petrol untuk nelayan sangat penting supaya kos operasi dapat dikurangkan.
“BUDI Nelayan ini boleh menjadi satu mekanisme yang lebih tersusun untuk membantu nelayan tanpa menjejaskan kawalan subsidi sedia ada,” ujarnya.
Dalam masa sama, Asri turut berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mempermudah proses pembelian petrol tambahan untuk nelayan di kawasan sempadan.
Beliau berkata, ketika ini nelayan hanya dibenarkan membeli tambahan sebanyak 20 liter bagi setiap transaksi, sekali gus tidak mencukupi untuk kegunaan harian mereka.
Asri berkata, nelayan muda kini lebih agresif dan sanggup bergerak ke kawasan perairan sempadan Indonesia, Thailand selain perairan Perak dan Pulau Pinang bagi mendapatkan tangkapan ikan gred A.
Katanya, langkah memperkenalkan BUDI Nelayan wajar diberi perhatian kerana ia bukan sekadar soal bantuan kepada nelayan, sebaliknya turut berkait dengan kepentingan pengguna yang mahu mendapatkan bekalan ikan pada harga berpatutan.






