
KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam kemalangan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Temerloh-Bera berhampiran Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, dekat Bera, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan dilaporkan jam 9.59 pagi itu membabitkan MPV jenis Perodua Alza dan Toyota Alphard.
Menurutnya, pemandu Perodua Alza, seorang lelaki berusia 37 tahun, maut di lokasi kejadian manakala pemandu Toyota Alphard berusia 29 tahun dilaporkan cedera ringan.
“Mangsa yang maut tersepit dalam kenderaannya manakala pemandu Alphard dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.
“Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang ke lokasi selepas panggilan diterima bagi bantuan menyelamat,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera ringan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.




