‘Kami takut dahulukan duit masjid’, Program Semarak Subuh Johor terima pembayaran lewat setahun

BATU PAHAT – Kelewatan pembayaran tuntutan Program Semarak Subuh Johor sehingga hampir setahun didakwa mencerminkan kegagalan kerajaan negeri mengurus pelaksanaan program itu, sekali gus menyebabkan masjid enggan lagi mendahulukan wang sendiri bagi menjayakan aktiviti tersebut.

Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad mendakwa, pembayaran bagi program yang dilaksanakan pada 2025 hanya diterima pada sekitar Jun lalu, iaitu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hampir.

Menurutnya, suasana itu menimbulkan persoalan sama ada pembayaran hanya disegerakan apabila musim pilihan raya, sedangkan sebelum ini pihak masjid terpaksa menanggung sendiri kos penganjuran.

“Memang betul (isu tersebut), kami buat Program Semarak Subuh Johor pada 2025, tetapi bayaran hanya diterima pada 2026. Itu pun apabila PRN Johor sudah hampir.

“Kami juga pernah diminta mengadakan program itu sekali lagi, tetapi kami menolak kerana tidak sanggup lagi mendahulukan wang masjid. Kami takut perkara sama berulang dan bayaran lambat diterima,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad memaklumkan, pihak masjid tidak mempunyai masalah dalam menggunakan dana sendiri terlebih dahulu sekiranya pembayaran dibuat dalam tempoh munasabah, namun kelewatan sehingga hampir setahun disifatkan tidak wajar.

Katanya, kelewatan itu bukan sahaja membebankan kewangan masjid, malah menimbulkan kekeliruan mengenai keutamaan kerajaan negeri dalam menguruskan pembayaran kepada masjid yang terbabit melaksanakan program berkenaan.

“Dibayar kali ini pun kami rasa mungkin kerana PRN. Kalau tiada PRN, kami tidak tahu sama ada bayaran itu akan terus tertangguh atau tidak dibayar langsung.

“Tidak sepatutnya pihak masjid diperlakukan seperti ini. Kami boleh terima untuk gunakan duit masjid dulu tapi kalau lewat sangat dibayar kepada kami. Ini seolah-olah menganiaya kami AJK masjid,” katanya.

Sementara itu, Ahmad mengakui Program Semarak Subuh Johor merupakan satu usaha mengimarahkan rumah ibadah dalam meningkatkan kehadiran jemaah pada waktu solat Subuh.

Bagaimanapun, katanya, kelemahan pengurusan pembayaran oleh kerajaan negeri menyebabkan hasrat untuk terus menjayakan program itu terbantut, walaupun matlamat pelaksanaannya disifatkan sebagai sesuatu yang baik.

“Program yang dilaksana itu memang baik kami sangat alu-alukan dalam memenuhkan kariah jemaah subuh di masjid tapi jika kami diperlakukan begini lewat dibayar, kami agak kecewa seolah-olah kami dipermainkan di atas nama agama,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar menegaskan, dakwaan pembayaran peruntukan Program Semarak Subuh Johor kepada beberapa masjid di DUN Senggarang hanya diselesaikan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diberi perhatian dan disemak.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senggarang berkata, walaupun belum menerima aduan rasmi berhubung perkara itu, sebarang urusan membabitkan institusi masjid tidak sepatutnya ditangguhkan tanpa alasan yang munasabah kerana membabitkan institusi agama yang berperanan besar dalam masyarakat

Program Semarak Subuh Johor merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan di masjid seluruh Johor bagi menggalakkan kehadiran jemaah pada solat Subuh menerusi pengisian keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan.

Bagi menjayakan program itu, pihak masjid lazimnya menguruskan sendiri penyediaan makanan, jamuan dan keperluan logistik sebelum mengemukakan tuntutan kepada pihak berkaitan untuk proses pembayaran.

Related Posts

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara

SHAH ALAM – Ekonomi Selangor terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila berkembang kepada RM460.1 bilion pada 2025, sekali gus menyumbang 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Menteri Besar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AMK Sabah seru Kerajaan Persekutuan kaji semula pelaksanaan subsidi diesel

KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel di negeri ini bagi memastikan dasar itu mengambil kira keunikan geografi, struktur ekonomi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara