‘Bentang kad laporan dahulu, jangan sibuk sindir PH’ – Fadhli Umar bidas Onn Hafiz

SRI GADING – Exco Pemuda Amanah Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda, menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya membentangkan terlebih dahulu pencapaian manifesto Ikhtiar BN Johor 2022 sebelum terus menyindir Pakatan Harapan (PH) berhubung pelaksanaan manifesto.

Menurut beliau, prinsip bahawa setiap parti yang diberikan mandat perlu bertanggungjawab terhadap manifesto yang dijanjikan sememangnya tepat, namun ia perlu bermula dengan kerajaan yang sedang memerintah menunjukkan rekod pencapaiannya sendiri.

Katanya, selepas lebih empat tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir Johor, rakyat masih belum diberikan satu kad laporan yang jelas mengenai status setiap janji yang dibuat kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri 2022.

“Jika Datuk Onn Hafiz mahu mengingatkan PH mengenai manifesto, beliau juga perlu menjawab kepada rakyat tentang sejauh mana Ikhtiar BN Johor 2022 telah dilaksanakan. Rakyat berhak mengetahui janji mana yang telah ditunaikan, mana yang masih tertangguh dan mana yang telah dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan BN mengemukakan 63 tekad baharu dengan sasaran yang lebih besar sedangkan beberapa janji terdahulu masih belum disempurnakan.

Beliau berkata, BN sebelum ini menjanjikan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan, namun Belanjawan Johor 2026 hanya merekodkan lebih 64,000 peluang pekerjaan diwujudkan, sebelum kini menjanjikan pula sasaran baharu sebanyak 200,000 peluang pekerjaan.

Dalam aspek perumahan pula, katanya, hanya 21,412 unit daripada sasaran 30,000 Rumah Mampu Milik Johor dilaporkan siap dan diserahkan sehingga suku pertama tahun 2026, namun kerajaan negeri kini mengumumkan sasaran baharu sebanyak 70,000 unit lagi.

“Janji lama belum selesai, janji baharu sudah dilambakkan. Adakah BN menyangka rakyat Johor mudah diperbodohkan dengan angka yang semakin besar setiap kali pilihan raya? Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” tegasnya.

Mengulas rekod pentadbiran PH, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan PH Johor pada tahun 2018 telah membuktikan keupayaan melaksanakan semua 10 janji dalam tempoh 100 hari sebagaimana direkodkan dalam sidang Dewan Negeri Johor pada Disember tahun sama.

Menurut beliau, antara janji yang berjaya dilaksanakan ialah pemberian 10 meter padu air percuma kepada golongan B40, Kad Sihat, diskaun tunggakan sewa PPR, Insentif Harapan Siswa, Skim Takaful Warga Emas, kursus kahwin percuma serta pengecualian bayaran lesen penjaja kecil.

“PH bukan sekadar melancarkan manifesto, malah melaksanakan tawaran yang dijanjikan dalam tempoh ditetapkan. Persoalannya, apakah kad laporan setara yang boleh dikemukakan oleh Onn Hafiz selepas lebih empat tahun mentadbir Johor?” katanya.

Beliau turut mendakwa kerajaan negeri masih belum memberikan penjelasan berhubung beberapa komitmen lain termasuk sasaran peluang pekerjaan, pembinaan rumah mampu milik, Program Makanan Berkhasiat untuk pelajar Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), Institut Wanita Johor, rumah transit, skim Sewa untuk Beli serta kenaikan elaun imam, bilal, noja dan siak.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa pengumuman pelaburan atau pelancaran projek baharu tidak boleh dijadikan pengganti kepada audit menyeluruh terhadap manifesto yang pernah dijanjikan kepada rakyat.

“Datuk Onn Hafiz boleh terus menyindir PH, tetapi sindiran itu hanya akan memakan diri selagi kad laporan Ikhtiar BN Johor masih belum dibentangkan kepada rakyat.

“Cermin diri dahulu sebelum mengajar orang lain tentang amanah. Bentangkan kad laporan, jawab janji lama dan biarkan rakyat Johor menilai sendiri siapa sebenarnya yang cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Related Posts

Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berautoriti menyelesaikannya mengikut saluran sah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

KUALA LUMPUR – Datuk Azrin Khairi hari ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 menerusi Istiadat Menghadap di Istana Besar Seri Menanti, di sini, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan Sabah

Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan  Sabah

Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

Teknologi AI mampu perkasa pembangunan bakat muda bola sepak Sabah – Masidi

  • By Ithma
  • October 14, 2026
Teknologi AI mampu perkasa pembangunan bakat muda bola sepak Sabah – Masidi

Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

Polis siasat insiden pelancong Itali dibaling batu

Polis siasat insiden pelancong Itali dibaling batu