
Oleh: Jasmine AE, Nana Mohamad, Helda Julie, Hafiq Hassan
KUCHING – Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang bermula 1 Julai membolehkan pemilik kenderaan persendirian berkelayakan menikmati harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter.
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan memaklumkan, harga penetapan bagi tempoh 1 hingga 8 Julai 2026 itu jauh lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu RM3.97 seliter. Inisiatif ini dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan di Semenanjung dan 300,000 lagi di Sabah, Sarawak, serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh. Langkah ini membantu mengurangkan tekanan kos hidup, melindungi sektor penting yang bergantung kepada bahan api, dan menyokong pertumbuhan negara,” jelas kementerian tersebut.
Rata-rata rakyat menyambut baik pelaksanaan tersebut, terutamanya golongan pekerja yang memandu pada jarak jauh.

Penjawat awam dari Miri, Devinis Sylvin, 27, menyifatkan pengumuman penurunan harga diesel kepada RM2.10 seliter bermula bulan ini sebagai satu hadiah yang amat dinantikan rakyat.
“Bagi kami yang menggunakan kenderaan diesel untuk mencari rezeki, perbezaan beberapa puluh sen itu membolehkan kami berjimat dengan banyak jika didarabkan sebulan. Wang penjimatan tersebut boleh digunakan untuk menampung keperluan keluarga yang lain,” katanya.
Tambah Devinis, langkah itu membuktikan kerajaan sentiasa peka dengan kelangsungan hidup rakyat dan berharap pasaran ekonomi negara akan menjadi semakin stabil.

Bagi Andrew Karel, 32, penetapan harga diesel bersubsidi di Sarawak sangat membantu melancarkan perjalanannya terutamanya untuk masuk ke kawasan pedalaman.
“Kawasan kampung saya terletak agak jauh, jadi subsidi ini amat melegakan. Kami di Sarawak sangat memerlukan kelangsungan inisiatif minyak diesel bersubsidi ini untuk kemudahan pergerakan harian,” jelasnya yang menetap di Miri.

Bagi pekerja swasta di Kuching, Nur Izzatul, 31, inisiatif tersebut amat bermakna memandangkan kos penggunaan bahan api di kawasan bandar agak tinggi dan menuntut perbelanjaan yang besar.
“Saya berharap subsidi ini dapat dikekalkan secara berperingkat kerana sebelum ini, pengguna diesel persendirian tidak menerima sebarang bentuk subsidi. Langkah ini wajar diteruskan demi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” ujarnya
Dalam pada itu, sektor komersial turut tidak dipinggirkan apabila kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak, serta Labuan layak membeli diesel pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara itu, usahawan pengangkutan dari Samarahan, Abdul Hafeez Hassan, 36, berkata, kos bahan api kenderaan komersial seperti lori merupakan antara perbelanjaan terbesar dalam operasi hariannya.
“Pelaksanaan subsidi ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos operasi, sekali gus membolehkan kami meneruskan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berdaya saing. Ia menunjukkan keprihatinan terhadap sektor pengangkutan yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan negara,” katanya.
Kerajaan juga memperluas kelayakan kepada kenderaan pikap dan jip syarikat bersyarat, manakala pemilik berkelayakan boleh memohon kuota tambahan 100 liter sebulan. Setakat pagi 30 Jun 2026, lebih 22,000 permohonan kuota tambahan telah diterima.
Bagi melancarkan urusan penyasaran subsidi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel yang mencecah RM100 selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026. Ini bagi memudahkan urusan bagi pengguna yang memandu kenderaan yang didaftarkan atas nama ahli keluarga terdekat.
Selain itu, Kementerian Kewangan turut menyediakan mekanisme pemindahan fungsi pembelian diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat, dengan hampir 1,000 permohonan diterima setakat ini.
Pelaksanaan awal BUDI Diesel di Semenanjung sejak 27 Jun lalu dilapor berjalan lancar tanpa masalah serius pada sistem pengesahan MyKad. Setakat 30 Jun 2026, kira-kira 80,000 transaksi melibatkan 3.2 juta liter diesel bernilai RM7 juta telah berjaya direkodkan.





