
KUANTAN – Aspek kebajikan dan pendidikan dalam kalangan saudara baharu daripada komuniti Orang Asli menjadi fokus utama Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Mualaf Negeri Pahang.
Ditubuhkan pada Jun 2025, yayasan berkenaan memainkan peranan penting bagi membimbing masyarakat Orang Asli memahami serta mengamalkan ajaran Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan itu, Datuk Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, penubuhan yayasan itu adalah atas ilham dan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Penubuhan yayasan ini mencerminkan keprihatinan tinggi Baginda dalam memastikan golongan saudara baharu (mualaf) di Pahang mendapat bimbingan dan pembelaan berterusan.
“Jadi, fokus utama kita di yayasan adalah menjayakan agenda memperkasa kebajikan serta pendidikan golongan tersebut, agar mereka mampu berdikari dan menjadi anggota masyarakat yang berjaya,” katanya kepada The Malaysia Press.

Beliau menjelaskan, yayasan berkenaan menggariskan lima teras utama dalam menjalankan amanah diberikan kepada mereka.
Katanya, teras itu merangkumi aspek kebajikan dan perlindungan; memantapkan pendidikan Islam, pengajian al-Quran dan pembangunan ilmu.
“Selain itu, kita juga memberi tumpuan kepada pembangunan insan seperti memperkasa sahsiah, jati diri dan kepimpinan.
“Dalam masa yang sama, kami di yayasan juga menumpukan kepada usaha meningkatkan kemahiran mereka supaya dapat berdikari dan seterusnya menambah baik struktur ekonomi komuniti Orang Asli, terutama mualaf,” katanya.
Zulkifle juga memaklumkan pihaknya memainkan peranan dalam membina hubungan strategik antara komuniti Orang Asli dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat.
“Semua ini bersesuaian dengan slogan Yayasan – Membimbing Dengan Hikmah, Memperkasa Dengan Ilmu, Membina Martabat Ummah – jadi, kejayaan dakwah sebenar bukan diukur pada bilangan mereka yang memeluk Islam, tetapi melalui keberkesanan membimbing mereka menjadi muslim berilmu dan menyumbang kepada negara,” ujarnya.






