PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman, menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada Kerajaan MADANI dengan menilai pencapaian serta dasar yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Haniff yang merupakan calon bagi kerusi kerusi N.54 Pulai Sebatang berkata, pelbagai dasar yang telah diperkenalkan di bawah Kerajaan MADANI, termasuk usaha memperkukuh ekonomi dan membantu golongan berpendapatan rendah.
“Selain itu, memperkasakan pendidikan, meningkatkan peluang pekerjaan serta memastikan pembangunan negara dapat dinikmati secara lebih inklusif.
“Pelaksanaan dasar-dasar tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan yang berlangsung di tapak Pasar Malam Taman Megah, Pontian.

Haniff turut mengajak hadirin menilai aspek kepimpinan negara dengan mengemukakan persoalan, ‘Siapakah yang mampu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?’ sebagai sebahagian daripada seruan supaya rakyat mempertimbangkan faktor pengalaman, kestabilan dan hala tuju negara dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan yang stabil serta dasar yang jelas amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dan pemulihan ekonomi dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
Program Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran calon PH bagi N.53 Benut, Abdul Razak Ismail, serta calon N.56 Kukup, Cheah Chee Hong, yang bersama-sama menyantuni masyarakat dan menyampaikan mesej kempen kepada pengundi.
Program berkenaan menjadi antara platform PH untuk mendekati rakyat secara langsung, menjelaskan dasar kerajaan serta memperkukuhkan keyakinan pengundi menjelang hari pengundian PRN Johor.







