
KUCHING – Majlis Penangguhan Ngiling Bidai Dayak Muslim 2026 anjuran Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMK) berlangsung meriah dalam usaha mengangkat keharmonian dan kepelbagaian budaya tempatan selari syariat Islam.
Timbalan Yang Dipertua Harakah Islamiah (HIKMAH), Mejar Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, Islam menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan kasih sayang yang merentasi batas agama mahupun kaum.
Menurutnya, Islam yang membawa prinsip Rahmatan lil Alamin sentiasa memastikan hak dan keadilan setiap individu terpelihara, khususnya dalam menjaga lima perkara asas manusia iaitu nyawa, akal, agama, keturunan dan harta.
“Justeru, golongan mualaf atau ‘Saudara Kita’ daripada pelbagai etnik diseru agar terus menitikberatkan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam.
“Sebagai umat Islam, kita juga diwajibkan untuk menuntut ilmu selari dengan ayat al-Quran pertama yang diturunkan (perintah untuk membaca), sekali gus memartabatkan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut di Centre Court Majma Mall pada Ahad.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation (HCF), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Pengurusan Kompleks Islam Sarawak.
Dalam pada itu, Pengerusi PDMK, Ustaz Fadlullah Fadilah Abdullah dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang berjaya merealisasikan penganjuran majlis tersebut.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat khususnya komuniti ‘Saudara Kita’ di negeri ini agar sentiasa memberikan sokongan padu bagi menjayakan pelbagai lagi program persatuan pada masa akan datang.

majlis tersebut pada Ahad.
Terdahulu, majlis diserikan dengan penganjuran forum bertajuk ‘Agama dan Budaya Berpisah Tiada’ yang menampilkan barisan panel jemputan iaitu Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara Negeri Sarawak, Ustaz Norhaza Redzuan Abdullah; Pengerusi Urusetia Saudara Kita (USK) Cawangan Singgai, Ustaz Safuan Abdullah dan Setiausaha Agung PDMK, Damia Alyaa Maisarah.
Antara pengisian lain yang menarik tumpuan ialah bacaan ayat suci al-Quran berserta terjemahan dalam bahasa Iban dan Bidayuh, serta persembahan istimewa alat muzik tradisional sape oleh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, Muamer Zherdan Shaqiri Mohamad Iderus.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Pemangku Pengurus Besar TBS, Iskandar Allan serta barisan tetamu kehormat yang lain.




