Program EAFM Lawas perkasa pemuliharaan ekosistem pesisir

LAWAS – Sebanyak 4,167 benih ikan siakap dilepaskan ke perairan umum manakala lebih 800 anak pokok bakau spesies Rhizophora ditanam menerusi Program Ecosystem Approach Fisheries Management (EAFM) Lawas 2026 di Hutan Simpan Kayangeran pada Khamis.

Ketua Wilayah Perikanan Wilayah Miri, Muhammad Saini Suliansa berkata, pelepasan benih ikan dan penanaman bakau merupakan dua komponen penting yang saling melengkapi bagi memastikan kelangsungan ekosistem marin.

Katanya, hutan bakau berfungsi sebagai habitat perlindungan, kawasan pembiakan serta sumber makanan kepada pelbagai spesies hidupan laut termasuk ikan.

“Tanpa kawasan bakau, anak-anak ikan kehilangan tempat berlindung dan membesar sebelum berhijrah ke perairan terbuka.

“Sebab itu usaha penanaman bakau perlu berjalan seiring dengan pelepasan benih ikan bagi memastikan kitaran ekosistem dapat dikekalkan,” katanya.

Muhammad Saini

Program tersebut anjuran Jabatan Perikanan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) itu bertujuan memperkukuh usaha pemuliharaan ekosistem pesisir.

Ia juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sumber perikanan secara lestari.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, siakap dipilih kerana spesies tersebut mempunyai kadar kemandirian tinggi.

“Spesies ini juga berpotensi membiak dengan baik di habitat semula jadi kawasan berkenaan. Pelepasan benih ikan perlu disertai dengan usaha memelihara habitatnya kerana kedua-duanya saling berkait,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pelbagai kajian menunjukkan hutan bakau turut berperanan sebagai benteng semula jadi yang mampu mengurangkan kesan hakisan pantai selain melindungi kawasan pesisir daripada impak bencana.

“Walaupun hanya 800 pokok ditanam hari ini, usaha ini merupakan satu pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman memaklumkan Program Bank Ketam yang sebelum ini dilaksanakan sebagai projek rintis di Langkawi akan diperluaskan ke beberapa lokasi baharu.

“Melalui program ini, nelayan digalakkan menyerahkan ketam yang sedang bertelur untuk ditempatkan di pusat pemuliharaan khas sehingga telurnya menetas sebelum dilepaskan semula.

“Langkah ini dapat membantu meningkatkan kadar pembiakan semula jadi spesies berkenaan dan memastikan populasinya terus terpelihara,” tambahnya.

Pada majlis sama, bantuan peralatan keselamatan turut disampaikan kepada 63 nelayan di Lawas di bawah inisiatif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai sokongan terhadap kebajikan komuniti terbabit.

Related Posts

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

LIMBANG – Masyarakat di kawasan perbatasan digesa untuk memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemilik haiwan digalak beri vaksin rabies setiap tahun

LIMBANG – Pemilik haiwan peliharaan di Sarawak digalakkan memastikan anjing dan kucing menerima vaksinasi tahunan bagi membantu mengekang penularan penyakit rabies secara lebih berkesan. Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

Pemilik haiwan digalak beri vaksin rabies setiap tahun

Pemilik haiwan digalak beri vaksin rabies setiap tahun

PKR ambil serius teguran akar umbi, perkasa strategi komunikasi

PKR ambil serius teguran akar umbi, perkasa strategi komunikasi