
KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mengesahkan siasatan berhubung kes buli melibatkan pelajar sebuah sekolah di Tenom yang tular di media sosial sedang berjalan, dengan semua pihak berkaitan termasuk mangsa dan individu disyaki terlibat telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan tindakan lanjut akan dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan individu yang terlibat merupakan kanak-kanak bawah umur 12 tahun.
โPihak polis telah melaksanakan siasatan ke atas kes ini dan satu kertas siasatan telah dibuka dan mangsa juga telah diambil kenyataan.
โNamun, kita akan menangani perkara ini berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada bagi pesalah di bawah umur 12 tahun,โ katanya ketika mengulas perkembangan kes berkenaan, pada Majlis Penutupan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am, Siri 1/2026, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas pihak polis mengambil maklum mengenai penularan video kejadian buli tersebut yang mencetuskan perhatian masyarakat sebelum ini.

Dalam pada itu, Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula video kejadian atau melakukan suntingan terhadap gambar individu yang terlibat kerana tindakan berkenaan boleh memberi kesan negatif kepada semua pihak.
โWalaupun penyebaran tersebut mungkin bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat agar kejadian sama tidak berulang, tindakan menyebarkan kandungan berkenaan secara meluas bersama komen-komen tertentu adalah tidak wajar.
โKita minta orang ramai tidak menyebarluaskan video-video ataupun membuat suntingan terhadap gambar pihak yang terlibat dalam perkara seperti ini.
โBiarlah pihak PDRM, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan menangani isu ini.
โTidak perlulah kita menyebarluaskan perkara ini,โ ujarnya.
Menurutnya, tindakan pihak berkuasa adalah bagi memastikan kes tersebut dikendalikan secara teratur dengan mengambil kira kebajikan semua pihak terutama mangsa serta individu bawah umur yang terlibat.
โKes tersebut kini disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Seksyen 509B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
โSebelum ini, video yang memaparkan kejadian buli membabitkan pelajar sebuah sekolah di Tenom tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai, sekali gus mencetuskan gesaan supaya tindakan sewajarnya diambil bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar,โ jelasnya.








