Penyertaan BRICS mula beri pulangan, bukti langkah strategik Anwar dua tahun lalu

MANFAAT yang mula dinikmati Malaysia melalui hubungan ekonomi lebih luas dengan negara anggota BRICS ketika ini membuktikan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon penyertaan dalam blok ekonomi itu dua tahun lalu adalah satu langkah strategik dan berpandangan jauh.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, keputusan itu dibuat ketika banyak pihak masih mempersoalkan keperluan Malaysia menyertai BRICS, malah sebelum dunia berdepan ketidaktentuan perdagangan global susulan pengenalan dasar tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, langkah berkenaan memperlihatkan keupayaan kerajaan melihat perubahan landskap ekonomi dunia lebih awal dan menyediakan platform baharu bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

“Ketika permohonan itu dibuat dua tahun lalu, ramai yang bertanya mengapa Malaysia perlu menyertai BRICS. Namun hari ini kita dapat melihat manfaatnya apabila negara mempunyai lebih banyak pilihan pasaran dan rakan strategik.

“Apabila AS mengenakan tarif terhadap banyak negara, Malaysia memerlukan landasan baharu untuk memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara. BRICS menjadi antara platform penting ke arah itu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.

Azmi berkata, BRICS yang menghimpunkan kuasa ekonomi utama seperti China, Rusia, India, Brazil dan Afrika Selatan mempunyai pengaruh yang semakin besar dalam menentukan hala tuju ekonomi global.

Katanya, kekuatan blok itu menjadi lebih signifikan apabila dilihat bersama kelompok negara Global South yang merangkumi sebahagian besar negara membangun di dunia.

“Jika digabungkan BRICS dan Global South, pengaruh ekonominya amat besar. Dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK), kelompok ini mampu menyaingi malah melebihi kekuatan ekonomi negara Barat.

“Ini menunjukkan keputusan Perdana Menteri ketika memohon penyertaan dalam BRICS dibuat berdasarkan pertimbangan jangka panjang dan bukan semata-mata keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, antara manfaat paling ketara yang dirasai Malaysia ketika ini ialah pembukaan pasaran baharu, khususnya di negara-negara Global South termasuk Amerika Latin dan Afrika yang mempunyai potensi besar untuk perdagangan dan pelaburan.

Pada masa sama, katanya, hubungan erat Malaysia dengan negara anggota BRICS turut membawa pulangan ekonomi yang nyata kepada negara.

Menurutnya, Rusia secara terbuka menyokong hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS, manakala Presiden China, Xi Jinping turut menyatakan komitmen untuk membantu dan menyokong usaha berkenaan.

“Keakraban dengan China dan Rusia bukan sahaja memberi manfaat dari sudut diplomatik, malah turut membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih luas.

“Kita melihat hasilnya melalui kerjasama antara Petronas dan Rosneft serta peluang penglibatan syarikat minyak nasional itu dalam projek penerokaan dan pengeluaran hidrokarbon di rantau Laut Caspian,” katanya.

Azmi berkata, perkembangan itu membuktikan bahawa dasar luar dan ekonomi yang digerakkan kerajaan sejak dua tahun lalu kini mula menghasilkan pulangan yang memberi manfaat kepada negara.

“Apa yang kita nikmati hari ini adalah hasil keputusan yang dibuat lebih awal. Ia menunjukkan tindakan Perdana Menteri memohon penyertaan dalam BRICS bukan sahaja tepat, malah memberi kelebihan strategik kepada Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, BRICS International Malaysia menyambut baik kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini dilihat membuka ruang baharu dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara, memperluas kerjasama dalam sektor minyak dan gas serta meningkatkan hubungan ekonomi strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengerusinya, Jaziri Alkaf Abdillah Sufian berkata, pertemuan Anwar dengan Vladimir Putin dan Serdar Berdimuhamedow membuktikan keupayaan Malaysia untuk menjalinkan hubungan yang seimbang dan konstruktif dengan pelbagai kuasa global, selaras dengan kepentingan nasional serta agenda pembangunan ekonomi negara.

Related Posts

Pas gagal, Bersatu hanya junjung titah Raja Perlis – Marzuki

DAKWAAN bahawa Bersatu mengkhianati Pas dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis terus dipersoalkan apabila bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, menegaskan krisis itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Laksana pemerkasaan kapasiti sumber air Johor jadi keutamaan Kerajaan, sokong pertumbuhan pusat data

KUALA LUMPUR – Keperluan bekalan air di Johor sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, sejajar pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik, termasuk pusat data. Timbalan Perdana Menteri , Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Padah sorok syabu 0.82 gram, ‘lakonan’ dua kru kapal terbongkar

Padah sorok syabu 0.82 gram, ‘lakonan’ dua kru kapal terbongkar

PH Sabah gesa pelaksanaan subsidi diesel bersasar telus dan adil

PH Sabah gesa pelaksanaan subsidi diesel bersasar telus dan adil

Insiden buli bukan perkara ringan, jadikan pengajaran – Junaidah

Insiden buli bukan perkara ringan, jadikan pengajaran – Junaidah

Pas gagal, Bersatu hanya junjung titah Raja Perlis – Marzuki

Pas gagal, Bersatu hanya junjung titah Raja Perlis – Marzuki

BUDI MADANI: Kerajaan mudahkan pendaftaran di cawangan LHDN dan UTC

BUDI MADANI: Kerajaan mudahkan pendaftaran di cawangan LHDN dan UTC

Puad dakwa ada ‘tidak kena’ dalam UMNO Johor, pengumuman penting 27 Jun

Puad dakwa ada ‘tidak kena’ dalam UMNO Johor, pengumuman penting 27 Jun