Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

PAPAR – Kapasiti asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir di sini meningkat hampir dua kali ganda daripada 160 kepada 300 murid susulan siapnya projek pembinaan blok baharu bernilai RM18.23 juta.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek yang siap pada 30 April lalu itu membabitkan pembinaan dua blok bangunan asrama dua tingkat berserta pelbagai kemudahan sokongan bagi menyediakan persekitaran lebih selesa, selamat dan kondusif kepada murid.

“Pembinaan blok baharu ini amat signifikan dalam menangani kekangan kapasiti yang sekian lama dihadapi, sekali gus menambah baik kemudahan asrama bagi warga SMK Majakir.

“Dengan adanya blok baharu ini, kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid berbanding hanya 160 murid di asrama lama,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sebelum ini asrama lama hanya mampu menempatkan masing-masing 80 murid lelaki dan perempuan, selain bangunan berkenaan pada asalnya merupakan blok bilik darjah dan pentadbiran yang diubah suai menjadi asrama.

“Keadaan itu menyebabkan sekolah berdepan kekangan dari segi ruang, susun atur, kemudahan dan keselesaan, sedangkan permohonan kemasukan ke asrama terus diterima khususnya daripada murid yang tinggal jauh dan sukar berulang-alik setiap hari.

“Sebelum ini sebahagian permohonan terpaksa ditolak berikutan kekurangan tempat, selain beberapa kemudahan sedia ada terpaksa digunakan bagi tujuan lain untuk menampung keperluan penghuni.

“Dengan adanya blok baharu ini, bangunan asrama lama akan dipertimbangkan untuk dikembalikan kepada fungsi asalnya sebagai bilik darjah.

“Langkah ini akan memberikan manfaat tambahan kepada pihak sekolah melalui penyediaan ruang pembelajaran yang lebih mencukupi dan kondusif,” katanya.

Tambah Armizan, beliau bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebelum ini mengadakan tinjauan ke lokasi projek pada 26 Februari 2023 bagi mendapatkan taklimat dan melihat sendiri status kemajuan pelaksanaannya.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar serta semua pihak yang terbabit dalam menjayakan projek berkenaan.

Katanya, peningkatan kapasiti dan kemudahan baharu itu diharap dapat memperkukuh kebajikan murid serta menyediakan persekitaran penginapan yang lebih selamat, selesa dan kondusif.

Asrama baharu tersebut turut dilengkapi dua rumah warden, dua bilik dormitori orang kurang upaya (OKU), dua bilik umum, dua bilik isolasi, dua pejabat warden, dua bilik penyambut tetamu dan dua gelanggang sukan.

Kemudahan lain termasuk sebuah bilik pejabat penyelia asrama serta dewan makan berkapasiti 300 orang.

Related Posts

Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

KOTA KINABALU – Lapan laluan perkhidmatan Bas.My (Bas Pink) di Kota Kinabalu akan dijajar semula bagi memperluas liputannya kepada sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama dalam kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU – Pendekatan Living Lab yang menggabungkan kepakaran universiti dengan kearifan tempatan berpotensi menjadi model pembangunan komuniti di Sabah dan Sarawak serta diperluaskan sebagai rujukan di peringkat nasional dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

AMK mahu kemelut institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan ikut undang-undang

Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun