
TANGKAK – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM16 bilion kepada Johor menerusi pelbagai projek pembangunan dan perbelanjaan kerajaan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jumlah itu melebihi hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri berkenaan dalam tempoh sama, iaitu sekitar RM14 bilion.
Menurut beliau, fakta berkenaan menggambarkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan Johor terus diperkasakan demi manfaat rakyat.
“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, hasil Persekutuan yang dikutip dari Johor bagi 2023 hingga 2025 berjumlah RM14 bilion.
“Berapa kita beri balik melalui pelbagai projek, pengurusan dan pembangunan keseluruhannya? Sejumlah RM16 bilion untuk negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini, malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, maklumat itu perlu diketengahkan supaya rakyat memahami kedudukan sebenar hubungan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan Johor.
Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus yang disalurkan kepada negeri itu berbanding tempoh pentadbiran terdahulu.
Katanya, Johor sebelum ini menerima antara RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun bagi tujuan perbelanjaan mengurus, namun jumlah itu kini meningkat kepada RM8.7 bilion di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, peningkatan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur dan program kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Berdasarkan data yang dikongsikan, Johor merupakan penerima ketiga terbesar peruntukan Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) bagi tahun 2026 selepas Sabah dan Sarawak.
Peruntukan OE bagi negeri itu meningkat daripada RM7 bilion pada 2022 kepada RM8.7 bilion pada 2026, manakala DE bertambah daripada RM2.3 bilion kepada RM4.8 bilion dalam tempoh yang sama.
Johor juga direkodkan sebagai negeri kedua tertinggi menerima bantuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selepas Selangor.







