
TAWAU – Perasaan sedih bertukar gembira buat Ramlah Rahman, 43, apabila akhirnya dapat mendiami rumah baharu di bawah program Rumah Mesra SMJ selepas kediaman lamanya terlibat dalam projek pelebaran Jalan Utara.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, peluang untuk memohon Rumah Mesra SMJ menjadi titik perubahan buat keluarganya memandangkan mereka turut mempunyai tapak sendiri untuk pembinaan rumah tersebut.
“Rumah lama yang kami tinggal (diami) terpaksa dirobohkan kerana members laluan kepada projek pelebaran Jalan Utara itu.
“Alhamdulillah terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama kepada Datuk Rina sebab kami ini B40, syukur kepada Allah. Rumah ini akhirnya dapat,” katanya kepada media selepas menerima kunci Rumah Mesra SMJ di Jalan Ma On San.

Sementara itu, seorang lagi penerima yang juga ibu tunggal, Chin Suk Sun, 49, berkata, dia amat bersyukur kerana permohonannya diluluskan selepas beberapa bulan.
“Saya memohon sejak Ogos tahun lalu dan rumah ini siap Februari tahun ini.
“Suami saya sudah meninggal dan sebelum ada rumah ini saya tinggal dengan ibu saya.
“Jadi bila dapat rumah ini saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana membantu saya sebagai ibu tunggal,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, setakat ini sebanyak 120 unit Rumah Mesra SMJ di kawasan DUN Kukusan telah diserahkan kepada penerima yang layak.
“Rumah Mesra SMJ adalah program yang inklusif kerana semua rakyat Sabah yang memenuhi syarat kelayakan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang boleh memohon.
“Asalkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk berdaftar dalam sistem e-Kasih dan merupakan anak negeri Sabah yang menetap di negeri ini,” ujarnya.
Jelas Rina, pihaknya turut membantu keluarga yang terjejas akibat projek pelebaran Jalan Utara mendapatkan kediaman baharu menerusi program itu
“Ada 14 rumah terlibat dengan projek itu, namun hanya lima keluarga yang mempunyai tanah sendiri berjaya mengemukakan permohonan dan diluluskan.
“Mereka telah menetap di kawasan itu sejak sekian lama dan kita berusaha membantu mendapatkan pengecualian serta kelulusan yang diperlukan supaya mereka dapat memiliki rumah baharu yang lebih selesa dan selamat,” katanya.





