
KUALA LUMPUR – Kos pengeluaran makanan negara dijangka mengalami peningkatan selepas harga baja dan makanan ternakan menunjukkan trend kenaikan yang ketara akibat gangguan perdagangan disebabkan konflik di Selat Hormuz.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia masih bergantung kepada import bagi 63 peratus keperluan baja menyebabkan sektor pertanian terdedah kepada ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Beliau turut memaklumkan, peningkatan tersebut berpotensi memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Berdasarkan penilaian semasa, kos baja diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus manakala kos makanan ternakan meningkat sekitar lapan peratus.
“Selain sektor pertanian, antara industri yang paling terkesan ialah logistik, pembuatan, kimia, plastik, pembungkusan, farmaseutikal dan elektrik serta elektronik (E&E),” katanya ketika sesi jawapan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (GPS) Betong, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan penilaian impak ekonomi terkini akibat gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kos penghantaran global kini meningkat hampir dua kali ganda manakala premium insurans kapal dagang bagi laluan berisiko melonjak sehingga 16 kali ganda bagi satu perjalanan.
“Bagaimanapun, kerajaan telah menggerakkan pelbagai langkah bagi mengelakkan peningkatan kos global dipindahkan secara langsung kepada pengguna.
“Antaranya melalui pemantauan harga harian, penguatkuasaan anti pencatutan serta pelaksanaan program Jualan Rahmah dan Agro MADANI,” katanya.
Selain itu, jelas Akmal Nasrullah, kerajaan juga melaksanakan empat kluster tindakan utama bagi mengurangkan kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan perdagangan melalui Selat Hormuz.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah melindungi rakyat, memastikan bekalan asas kekal stabil, membantu industri terus beroperasi dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Kluster pertama memberi tumpuan kepada perlindungan rakyat melalui pelbagai bantuan dan subsidi bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Kluster kedua pula memberi fokus kepada penstabilan bekalan dan harga melalui pemantauan harian, kerjasama dengan Petronas serta penguatkuasaan anti pencatutan dan antipenyeludupan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan turut memperkenalkan semula mekanisme Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam sejak 15 April lalu untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan kos perjalanan.
“Kerajaan turut menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion dan tambahan dana jaminan pembiayaan SJPP sebanyak RM5 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menghadapi tekanan kos operasi,” katanya







